KULIM – Ketua Umno Bahagian Kulim-Bandar Baharu, Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir berharap mana-mana ahli parti yang berhasrat untuk menyertai pembangkang dapat kembali sebelum PRU14.

Beliau berkata, isu ahli keluar parti ini perlu diambil serius kerana ia memberi kesan kepada pilihanraya nanti.

"Kita ambil serius isu ahli keluar parti ini, ia memang sedikit sebanyak bagi kesan kepada kita terutama pada PRU, satu undi pun ia bermakna.

"Kita akan dekati mereka kembali, bagi penjelasan dan kita akan bantu urus emosi mereka, saya yakin mereka akan kembali kepada asas (Umno), kita doa mereka kembali sebelum PRU,"katanya selepas program penyampai Bantuan Awal Persekolah di SK Taman Kenari, tadi.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai isu ahli parti mengambil keputusan memilih pakatan pembangkang sebagai perjuangan mereka.

Katanya, isu keluar parti ini terjadi kerana rantaian hubungan persahabatan yang wujud di dalam politik.

"Kita terima hakikat apa saja politik rangkaian sahabat itu mesti ada, ada pemimpin Umno keluar parti, mesti ada sahabat dia ikut.

"Contohnya seperti Datuk Azimi Daim (Ketua Bersatu Bahagian Kulim-Bandar Baharu) keluar parti pasti ada kawan-kawan dia ikut, tapi kita yakin selepas kita jumpa nanti mereka akan kembali," katanya.

Tambahnya, rakyat juga akan mengambil keputusan untuk memilih Umno sebagai pemerintah apabila melihat kredibiliti pemimpin pembangkang.

"Mereka akan kembali setelah terbukti kredibiliti pemimpin pembangkang yang suka bertindak keluar parti ketika waktu marah seperti yang dilakukan (Tun) Dr Mahathir (Mohamad) dengan  Tengku Razaleigh Hamzah lepas kembali ke parti, kemudian dengan (Datuk Seri) Anwar Ibrahim, sekarang mereka berkawan pula,"katanya.