SUNGAI DUA - Jabatan Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JAINPP) memantau sepenuhnya pusat dan madrasah tahfiz yang beroperasi di negeri ini.

Pengerusi Bahagian Pendidikan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) Syed Mohd Nazli Syed Ahmad, berkata terdapat kira-kira 50 maahad tahfiz dan pusat tahfiz yang berdaftar.

“Pulau Pinang mempunyai Majlis Pengetua Maahad Tahfiz yang mana dianggotai oleh semua pengetua maahad tahfiz dan masa sama di negeri ini kita mempunyai ijtima huffaz.

“Kita memantau sepenuhnya perkembangan dan perjalanan kesemua maahad tahfiz ini, sama ada dari aspek keselamatan, kesihatan, dan kerjasama juga diadakan bersama dengan beberapa agensi-agensi yang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas hadir dalam Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Bahagian Pendidikan Agama Islam Negeri Pulau Pinang bertempat di Pusat Kegiatan Guru Padang Menora di sini, hari ini.

Katanya, dalam masa sama madrasah dan pusat tahfiz yang tidak berdaftar turut sama dipantau pihaknya.

“Pemantauan ini dilakukan bukan untuk mengganggu sebaliknya memastikan maahad tahfiz ini berada dalam keadaan baik dari segala aspek baik keselamatan, kesihatan dan sebagainya.

“Kita mempunyai enakmen yang mana untuk diguna pakai dalam menangani pusat tahfiz yang tidak berdaftar, namun ia merupakan langkah terakhir, setakat ini, pihak kami melakukan pemantauan sebaiknya,” katanya.

Dalam pada itu, pihaknya menasihati agar ibu bapa yang mahu menghantar anak-anak mereka ke madrasah atau pusat tahfiz agar menyemak terlebih dahulu statusnya.

“Ibu bapa perlu memikirkan dari sudut keselesaan, keselamatan, kesihatan anak-anak dan sebaiknya semak dahulu dengan Bahagian Pendidikan JAINPP,” katanya.

Tambahnya, dalam masa sama, pihaknya berharap agar pusat atau madrasah tahfiz yang belum berdaftar agar segera berbuat demikian.

“Nasihat saya kepada maahad tahfiz atau pusat tahfiz yang belum daftar, mendaftar ini bukan bermakna dikawal sepenuhnya atau diambil alih tugas.

“Sebaliknya ia dapat memberi manfaat kepada madrasah atau pusat tahfiz itu sendiri kerana kita membantu penambahbaikan, aspek kemudahan dan sebagainya, termasuk memberikan nasihat,” katanya.

Hadir sama dalam majlis ini, pegawai-pegawai kanan Bahagian Pendidikan JAINPP dan beberapa wakil rakyat.