SEBERANG JAYA - Seorang lelaki bertindak mencuri sebuah televisyen di kios menjual kerusi urut di sebuah pasar raya, di sini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata, kehilangan televisyen tersebut disedari jurujual kios terbabit yang ketika itu baru hendak memulakan perniagaan.

“Televisyen tersebut dipasang di dinding di ruang pameran, jurujual kemudian melihat rakaman CCTV dan mendapati seorang lelaki tidak dikenali telah datang ke ruang pameran itu lalu membuka TV di dinding berkenaan,” katanya.

Menurutnya, siasatan polis mendapati tempat kejadian adalah kawasan jualan jenis kios dan kawasan terbuka tidak berdinding hanya ditutup dengan kain sahaja.

“Ruang jualan yang menempatkan TV yang hilang itu terletak berdekatan dengan tangga bergerak," katanya.

Beliau berkata, polis telah mohon rakaman CCTV daripada pihak pasar raya terbabit untuk membantu siasatan.

“Setakat ini tiada saksi bebas yang tampil berikan maklumat kejadian selain daripada rakaman CCTV,” katanya.

Nik Ros Azhan berkata, polis kini giat mengesan suspek yang terlibat dan kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya.