PENDANG - Parti Amanah Negara (Amanah)  menyasarkan 100 cawangan dapat ditubuhkan di sekitar daerah ini menjelang PRU15.

Penyelaras Dun Tokai, Firdaus Jaafar berkata setakat ini Amanah Pendang mempunyai lebih 30 cawangan.

Katanya, penubuhan cawangan Amanah membolehkan parti itu menjalankan program tertentu agar lebih dekat dengan rakyat.

"Ahli yang ramai sangat diperlukan bagi memastikan misi parti dapat dilaksanakan dengan baik dan berhasil," katanya.

Menurut Firdaus, Amanah menggunakan pendekatan yang mesra dan berhemah dalam mendekati komuniti sesuatu tempat.

"Kita tak pernah guna pendekatan yang kasar dan juga bersifat hasutan dalam mendekati mereka.

"Kerjasama baik antara semua cawangan Amanah di seluruh Pendang penting dalam menggerakkan sebarang aktiviti," katanya.