POKOK SENA - Penduduk di Kampung Menerong, Mukim Derang merayu kepada pihak berkuasa supaya menggiatkan lagi operasi bagi menghapuskan sarang dadah di kawasan itu.

Lokasi yang dikatakan wujud sejak lima tahun lalu itu memberi masalah kepada penduduk dan membahayakan keselamatan mereka.

Pengerusi JKKK Menerong, Azmi Omar berkata, sarang dadah itu terletak di tengah antara kampung yang ada di sekitar kawasan itu.

Menurutnya, kedudukan itu memudahkan tokan turun dan membekalkan dadah kepada penagih hingga ramai penagih dari luar turut berkumpul di situ.

"Kebanyakan penagih ini datang dari luar. Mereka langsung tidak menghiraukan penduduk tempatan untuk keluar masuk ke ladang kelapa sawit itu.

"Apa yang menghairankan penduduk kampung ini, walaupun port itu sudah diserbu beberapa kali, tetapi mereka masih menghidupkan port itu dan tidak pernah serik apabila ditangkap,” katanya.

Menurut Azmi, aktiviti itu mula aktif pada jam 9 pagi dan berlarutan hingga jam 10 malam.

Sehingga kini katanya, pihaknya hanya memaklumkan masalah itu kepada polis dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) bagi menutup sarang dadah itu.

"Bagi perancangan masa depan, jawatankuasa kampung akan mengadakan kawalan untuk orang luar masuk ke kampung ini dengan mendapat khidmat nasihat pihak berkuasa," katanya.

Bagi Zaiton pula, kewujudan sarang penagih itu menyebabkan mereka takut untuk menoreh getah pada waktu awal pagi.

Katanya, dia terpaksa menoreh getah berhampiran rumahnya apabila terdapat beberapa penoreh lelaki lain turut berada di ladang getah mereka kerana bimbang keselamatannya sebagai wanita.

 “Pernah semasa serbuan polis dilakukan mereka lari berkeliaran lalu masuk ke kebun getah mak cik ini. Bimbang dengan keselamatan mak cik juga turut lari dan bersembunyi dengan ketar di belakang pokok besar. Mak cik difahamkan setiap penagih itu mempunyai senjata untuk melindungi mereka juga.

“Bimbang dengan ancaman itu mak cik hanya sempat menoreh hingga 10 pagi kerana waktu itu bilangan mereka semakin ramai dan bebas melakukan sesuatu. Bagi mengelak sebarang perkara tidak diingini mak cik akan pulang kerana pada masa itu juga penoreh sudah mulai pulang,” katanya.

Tambahnya, kewujudan sarang dadah itu menyebabkan banyak berlakunya kes kecurian getah sekerap terutama semasa harganya tinggi.

“Pernah semasa malam Ramadan rumah mak cik turut dimasuki pencuri dan kehilangan barangan kemas dan duit. Kejadian itu menyebabkan penduduk tidak berani meninggalkan rumah terutam semasa solat tarawih pada Ramadan.

“Oleh itu mak cik harap pihak berkuasa lebih kerap lagi melakukan serbuan di sarang dadah itu hinggalah ditutup supaya keselamatan penduduk di sini lebih selamat,” katanya.

Khamis lalu, seramai 41 penagih ditangkap dalam operasi, bagaimanapun tinjauan Sinar Harian semalam mendapati sarang dadah itu sudah mula dikunjungi penagih dadah semula.