BUTTERWORTH - "Sampai bila harus begini, itu luah seorang wanita di Kuala Bekah, Kepala Batas apabila mendakwa hampir empat tahun terpaksa menumpang bekalan elektrik dan air yang ditarik daripada rumah ibu saudaranya di sini.

Yusrina Yusuff,41, berkata kesempitan hidup mengakibatkan dirinya terpaksa bergantung harap daripada ehsan saudara mara berhampiran rumahnya.

"Masalah air dan elektrik ni memang dah lama saya pakai dari rumah dia, dia pun susah, saya pun fikir sampai bila nak tarik daripada rumah dia.

"Kadang-kadang tu bila kak ada duit, kak bagi dekat dia sikit, la pun bil elektrik dan air dah melonjak sampai beratus ringgit, kita fikir juga keadaan dia, dalam masa sama pun, kita pun susah," katanya.

Menceritakan mengenai kisah hidupnya, katanya, rumah ini dibina oleh ibunya kepadanya untuk dirinya menetap di sini.

"Kak hidup memang pindah randah, sebelum ni tinggal di Guar Jering, mak sakit, kaki kena potong, jadi ikut adik balik Melaka, mak minta saya pulang untuk tinggal di rumah ini.

"Kak sebelum ini bekerja sebagai pengawal keselamatan, namun mengenangkan mempunyai anak-anak yang masih bersekolah, kak ambil keputusan berhenti kerja, dan sekarang hanya mengharapkan bantuan daripada zakat sebanyak RM400 sebulan," katanya.

Rumah yang didiami Yusrina bersama anak-anaknya di Kuala Bekah.

Katanya, hidupnya pada masa sama, turut mendapat perhatian daripada saudara mara.

"Kami hidup sekeluarga ibarat kais pagi makan pagi, ada apa yang itu kami makan, kadang-kadang pak cik mai bagi makanan, bagi duit beli beras, yang tu ja, nak kata nak mewah tu memang tak.

"Kalau boleh kak pinta, agar pihak berkenaan sudi bantu kak, sebelum ini pernah usahakan sendiri, untuk nak dapat bekalan elektrik dan air ni sendiri, tapi prosudernya macam-macam, kena ada geran tanah dan sebagainya, sedangkan rumah yang kak duduk ni pun dibina atas tanah tol," katanya.

Yusrina mempunyai lapan cahaya mata berumur lingkungan 24 hingga 12 tahun.

"Anak kak ada yang bekerja dan ada yang masih bersekolah, tapi yang bekerja masing-masing mereka tinggal di luar, tapi mereka datang juga jenguk kak dan adik-adik depa kat sini," katanya.

Menurutnya, buat masa ini, ada pihak yang sudi menghulurkan sedikit bantuan kepadanya.

"Kak minta kalau boleh ada pihak yang prihatin dengan masalah  air dan juga elektrik, la tarik rumah mak menakan, dah hampir beberapa tahun.

"Untuk air, paip sudah dipasang cumanya, nak masuk meter kena bayar RM300, la kak tak kerja, cuma dok harap dengan duit zakat, memang tangguh sampai la, la masih lagi pakai air daripada rumah ibu saudara," katanya.

Yusrina mendakwa hidupnya semakin terhimpit disebabkan hanya mengharapkan bantuan zakat dan pertolongan saudara maranya.

Penyelaras Kadun Bertam, Asrol Sani Abdul Razak berkata pihaknya akan merujuk kepada pihak berkaitan dalam masa terdekat ini.

"Insya ALLAH, perkara ini perkara ini saya akan rujuk dengan JKKK untuk dapatkan maklumat, dan kita akan datang untuk melawat secepat mungkin.

"Pada masa sama, saya juga akan merujuk perkara ini dengan pihak berkaitan termasuk zakat dan penghulu untuk kita bantu mereka.

"Bagi kawasan Bertam ini, sekiranya kita menerima maklumat mengenai sebarang kes melibatkan orang berkemampuan daripada orang awam atau JKKK kita akan segera bertindak," katanya.

Sementara itu, Penolong Pegawai Pembangunan Masyarakat Jabatan Kebajikan Masyarakat(JKM) Seberang Perai Utara Khairul Zaim A. Halim berkata, buat masa ini pihaknya akan meneliti dan menyiasat mengenai kes ini.

Paip sudah dipasang, namun perlukan pembayaran sebanyak RM300 untuk pemasangan meter penyambungan air menyebabkan Yusrina buntu.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • MARANG - Enam sekeluarga di Kampung Gong Beris, di sini, tinggal sehelai sepinggang apabila rumah mereka hangus dijilat api dalam kejadian berlaku lebih kurang jam 7.20 pagi, tadi.
  • ISKANDAR PUTERI - Kerajaan Negeri Johor memutuskan untuk mengekalkan penetapan kadar pemilikan hartanah kediaman bagi warga asing pada harga minimum RM1 juta.
  • DUNGUN - Sebanyak 100 rumah di Parlimen Dungun menikmati kemudahan untuk menaiktarafkan sistem pendawaian elektrik di rumah menerusi program Jom Bantu Rakyat.
  • MUAR - “Saya rasa lega tak perlu lagi nak nyalakan lilin, rumah pun dah ada bekalan elektrik selain cantik, selesa dan selamat,” kata Loh Ah Lek, 78.
  • KOTA KINABALU - Tiada lagi masalah bekalan air bersih dan elektrik di Sabah terutama di kawasan pedalaman sekiranya pelaksanaan projek infrastruktur Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) ditadbir dengan baik semasa diterajui Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.