• Penduduk berkumpul menyuarakan masalah yang dihadapi agar ada pihak dapat membantu. Penduduk berkumpul menyuarakan masalah yang dihadapi agar ada pihak dapat membantu.
1 /

KOTA KUALA MUDA – Kira-kira 100 pesawah dari enam buah kampung di sini terpaksa menanggung kerugian apabila hasil tuaian mereka berkurangan disebabkan sistem saliran yang tersumbat.

Mohd Nazar Mohd Kasim, 53, dari Kampung Sungai Emas berkata, dia hanya mampu memperoleh separuh daripada pendapatan yang diharapkan apabila hasil tanaman padinya tidak dapat dituai sepenuhnya.

Menurutnya, dia yang mengusahakan 10 hektar tanaman padi termasuk milik sendiri dan disewa sejak 20 tahun lalu hanya memperoleh pendapatan sekitar RM20,000 hingga RM30,000 sahaja.

"Sistem saliran yang tersumbat di dalam petak sawah menyebabkan jentera memotong padi tidak dapat beroperasi sepenuhnya akibat air bertakung.

Hasan Awang, 54, dari Kampung Kubang Jambu, berkata, sistem saliran sedia ada tidak mampu berfungsi dengan baik menyebabkan pendapatan petani terhad.

“Sekiranya masalah sistem saliran diperbaiki kemungkinan hasil padi boleh ditingkatkan,” katanya yang mengusahakan tanaman padi sejak 30 tahun lalu.

Tambahnya, aduan telah dikemukakan kepada pihak berkenaan pada 2011 dan 2012 namun  maklum balas yang diberikan tiada peruntukan untuk mengatasi masalah itu.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Kebajikan dan Sosial Kuala Muda, Makbul Ilahi Hashim berkata, masalah yang dihadapi petani sudah banyak kali dikemukakan, bagaimanapun, tiada penyelesaian.

“Antara kawasan terlibat termasuk di Kampung Sintok Bugis, Kampung Kubang Jambu, Kampung Teluk Amboi, Kampung Sungai Emas, Kampung Bukit Berangan dan Kampung Permatang Ringan.

“Saya bagi pihak Badan Bukan Kerajaan (NGO) merayu mana-mana pihak tidak kira kerajaan negeri mahupun kerajaan persekutuan supaya dapat membantu kami mengatasi masalah ini,” katanya.

Menurutnya, kakitangan Jabatan Pengairan dan Saliran pernah ke kawasan itu  mellihat sendiri masalah yang dihadapi pesawah.