BAGAN DATUK - Semua pegawai dan kakitangan Lembaga Koko Malaysia (LKM) disarankan supaya saling mengingati sesama sendiri daripada terjebak dalam kesalahan rasuah.

Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Datu Nasrun Datu Mansur berkata, bagi memastikan ia berjaya usaha penerapan, penghayatan dan pengamalan integriti serta nilai-nilai murni perlu diberi keutamaan secara berterusan.

"Kepada semua warga LKM sama ada di peringkat pengurusan atau kumpulan pelaksana, saya berharap anda dapat menghayati pengertian pengurusan berintegriti sebagai tonggak kejujuran dan keikhlasan dalam kerjaya dan perkhidmatan di sektor awam.

"Berintegriti bukan sahaja untuk menangani gejala rasuah tetapi juga mengelakkan penyelewengan dan salah guna kuasa," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Bengkel Pemantapan C-Team 2.0 dan Lafaz serta Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) LKM, di Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Koko, Bagan Datuk, petang tadi.

Menurut Datu Nasrun, dengan adanya pelaksanaan IBR dan Pelan Integriti LKM ia diharap dapat meningkatkan imej serta mengukuhkan tahap keyakinan pemegang saham, pelanggan-pelanggan dan kumpulan sasar terhadap pengurusan LKM.

Sementara itu, Ketua Pengarah LKM, Datin Norhaini Udin berkata, majlis IBR yang berlangsung petang tadi melibatkan hampir 100 pegawai dan kakitangan LKM seluruh negara.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SEREMBAN - [VIDEO] Dua kakitangan Telekom Malaysia Berhad (TM) ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan semalam kerana disyaki menerima rasuah bagi menjual kabel milik syarikat itu secara tidak sah sejak dua tahun lalu.
  • KUCHING - Dua pegawai kerajaan hari ini mengaku bersalah terhadap tuduhan melakukan rasuah dan masing-masing dijatuhi hukuman penjara serta didenda oleh Mahkamah Khas Rasuah di sini.
  • JOHOR BAHRU - Seorang Penolong Pegawai Veterinar sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas tiga pertuduhan menerima suapan berjumlah RM3,500 dari seorang pengurus syarikat antara November 2013 hingga Oktober 2014 lalu.
  • IPOH - Seorang peniaga dijatuhi hukuman penjara tujuh hari dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Ipoh, hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memberi suapan bernilai RM90 kepada Pegawai Imigresen, Mac lalu.
  • SEREMBAN - Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman denda RM20,000 dan penjara 28 bulan ke atas seorang anggota polis berpangkat koperal kerana didapati bersalah atas tuduhan meminta dan menerima suapan pada Januari 2013.