SUNGAI PETANI - Kerajaan negeri prihatin terhadap nasib tujuh beradik tinggal tanpa pengawasan kedua ibu bapa di Kampung Raja yang tular di laman sosial sehingga mendapat reaksi pelbagai pihak.

Exco Kebajikan, Halimaton Saadiah Saad berkata, setakat ini, proses mengumpul dan kemas kini data sedang dilakukan sebelum mengenal pasti bentuk bantuan sewajarnya.

Menurutnya, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO), jawatankuasa masjid, sukarelawan, dermawan dan orang perseorangan tampil membantu anak-anak tersebut dan banyak sumbangan telah disalurkan.

“Saya ucapkan terima kasih buat semua yang turun padang membantu kerajaan negeri yang bersimpati dengan nasib anak-anak ini dan hari ini kita dapat tau depa buat gotong-royong bersihkan rumah,” katanya kepada media.

Beliau berkata, status terkini ibu bapa mereka sama ada bercerai dan sebagainya akan diperiksa berdasarkan siasatan dan pengesahan dokumen.

“Kita akan kumpul data bagi menyiasat secara terperinci tentang maklumat keluarga mereka sebelum mengenal pasti bentuk bantuan yang sepatutnya,” katanya.

Halimaton berkata, setakat ini maklumat mereka banyak tersebar melalui media sosial namun kesahihan maklumat sebenar akan diperoleh dari agensi terlibat seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat, pihak sekolah serta agensi lain yang bertanggungjawab.

Sebelum ini, kisah tujuh beradik berusia antara empat hingga 17 tahun yang hidup sendiri tanpa pengawasan kedua ibu bapa, tular di media sosial.

Mohamad Shahril, 17, Mohamad Shafiq Adli, 15, Nur Farisha, 13, Mohd Farith,11, Nur Fasharina, 9, Nur Shuhada Fariza, 5, dan Nur Shahirah Fatihah, 4, kini diletakkan sementara di inap desa berdekatan, sementara rumah mereka dalam proses pembersihan.

Mereka juga difahamkan terpaksa bergilir menjaga adik-adik yang masih kecil sehingga terpaksa hidup sendiri dalam keadaan serba kekurangan.