GEORGETOWN - Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng gembira apabila sempat meluangkan masa untuk bersama-sama rakyat di negeri ini dalam majlis berbuka puasa yang diamalkan sejak 10 tahun lalu.

Beliau yang kini dilantik sebagai Menteri Kewangan berkata, walaupun pada tahun ini beliau terpaksa menghadiri majlis berbuka puasa di Putrajaya kerana tuntutan tugas, namun berbuka puasa dengan rakyat dan rakan-rakan di Pulau Pinang amat dirinduinya.

Tambahnya, berbuka bersama rakyat dan rakan-rakan dengan makan bersila dan berkongsi dulang merupakan kenangan terindah dalam hidupnya sepanjang bergelar Ketua Menteri Pulau Pinang.

“Saya baru tiba dari Putrajaya dan berkesempatan berbuka puasa bersama penduduk di Masjid Jamek Kubang Buaya, Butterworth. Saya sedaya upaya pulang untuk bersama rakyat walaupun mempunyai jadual yang amat padat kerana merindui perkara yang saya buat selama 10 tahun ini.

“10 tahun saya terlibat dengan majlis berbuka puasa di Pulau Pinang. Oleh itu, apabila ada peluang balik (ke sini), saya tidak melepaskan peluang ini. Hari ini (kelmarin), saya mendapat peluang untuk kembali berbuka di sini, kerana saya tahu penduduk di sini mempunyai hubungan yang baik antara satu sama lain dan menjalani kehidupan yang berkualiti,” katanya.

Tambahnya, berbuka di Pulau Pinang merupakan saat bahagianya kerana dapat beramah mesra selain mendekati rakyat dan rakan-rakan.

“Saya amat teruja untuk pulang ke sini dan makan bersila dengan satu dulang seperti yang saya lakukan sebelum ini. 

“Sudah jadi satu amalan buat saya untuk beramah mesra dengan penduduk setiap kali bulan puasa, selama dua penggal saya menjadi ketua menteri,” katanya.