POKOK SENA - Ramai pelajar mudah terjebak dalam gejala pengambilan ketum dan dadah berikutan bahan terlarang itu mudah didapati selain dipengaruhi rakan sebaya, kata polis.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, ini berikutan aktiviti penanaman pokok ketum secara berleluasa oleh penduduk di kawasan pedalaman menyebabkan ramai remaja terdedah dan terjebak dalam pengambilan air ketum sebelum mengambil dadah.

Tabiat itu bermula dengan minum air ketum, kemudian mencuba dadah hingga sukar membuang tabiat itu dan mengundang pelbagai kegiatan jenayah dan masalah sosial, katanya selepas merasmikan Program Remaja Berwawasan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Payung di sini hari ini.

"Melalui perjumpaan dengan pemimpin setempat terutama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Pokok Sena baru-baru ini, isu daun ketum, dadah dan isu jenayah banyak dibangkitkan oleh golongan pemimpin kawasan terbabit," katanya.

Beliau berkata polis akan terus bekerjasama dengan pihak pengurusan sekolah bagi menjalankan program-program kesedaran mengenai bahaya daun ketum dan dadah.    

Katanya paling bahaya adalah dadah moden kerana dadah ini sangat mahal dan boleh mengundang kegiatan jenayah seperti mencuri atau meragut semata-mata untuk membeli dadah. - Bernama

 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • TAMPIN - Seorang lelaki berumur 55 tahun yang dikenali sebagai Pak Sheikh dalam kalangan peminat air ketum berjaya ditangkap polis susulan dipercayai terbabit dalam aktiviti menanam, memproses dan menjual air ketum berkenaan sejak enam bulan lalu.
  • TANAH MERAH - Seorang pelajar tingkatan lima dari sebuah sekolah menengah di sini, antara tiga lelaki ditahan dalam serbuan di sebuah bangsal dalam semak di Kampung Bukit Kelidang, dekat sini, kelmarin.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.