Remaja cedera parah di kaki
Beginilah keadaan motosikal mangsa selepas terlibat dalam kemalangan di hadapan Dewan Tengku Putra, malam kelmarin.

KULIM - Seorang remaja lelaki cedera parah di kedua belah kakinya apabila motosikal jenis Yamaha 125Z yang ditunggang merempuh sebuah kereta Daihatsu Aura di hadapan Dewan Tengku Putra kira-kira jam 10.30 malam kelmarin.

Ketua Trafik Kulim, Asisten Superintendan Ismail Ayob berkata, mangsa datang dari arah pekan Kulim menuju ke Taman Selasih, manakala pemandu kereta itu pula dari arah Taman Selasih menuju ke Taman Sri Petaling.

"Apabila tiba di selekoh Taman Keranji, kereta yang dipandu warga emas itu terus membelok masuk menyebabkan mangsa merempuh bahagian kiri kereta.

“Akibat rempuhan kuat, mangsa tercampak ke atas bumbung kereta dan mengalami kecederaan parah di bahagian kedua belah kakinya.

"Maklumat diterima, kaki kanan mangsa patah tiga manakala kaki kirinya pula patah dua," katanya.

Menurutnya, terdapat kesan luka di bahagian muka dan badan mangsa.  

"Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Kulim untuk rawatan kecemasan.

"Memandangkan kecederaan dialami mangsa parah, waris mengambil keputusan untuk memindahkannya ke hospital pakar di Pulau Pinang,” katanya.

Katanya, simpang masuk ke Taman Keranji sememangnya merbahaya kerana kebanyakan kenderaan yang datang dari arah Kulim sering dipandu laju.

Pengguna jalan raya yang hendak memasuki mana-mana lorong dan datang dari Taman Selasih menuju ke Pekan Kulim dinasihatkan supaya membenarkan kenderaan dari arah bertentangan melepasi mereka sebelum membelok.

Artikel Berkaitan
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.