NIBONG TEBAL - Kegembiraan sebuah keluarga menyambut Ramadan bertukar hiba apabila rumah mereka di Kampung Tengah, Sungai Setar Besar di sini musnah dalam kejadian kebakaran pada 5 Mei lalu.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 9.50 pagi itu menyebabkan keseluruhan rumah yang didiami lima beranak itu musnah sepenuhnya selepas kebakaran yang berpunca daripada kebocoran paip gas memasak.

Menceritakan semula kejadian berkenaan, Mohamad Nidzam Shafie @ Sepiey, 42 berkata, ketika itu beliau sedang bertugas sebagai anggota polis bantuan di sebuah kilang di kawasan Perindustrian Perai.

Katanya, sebelum kejadian isterinya Jamaliah Saari,41 menghubungi memaklumkan baharu sahaja menukar tong gas dan mahu menyediakan sarapan pagi untuk anaknya namun dia memberitahu  seperti ada sesuatu tak kena selepas mendengar bunyi pelik yang keluar daripada paip gas berkenaan.

"Saya arahkan dia untuk membuat pelarasan pada kepala paip tong gas itu sebelum dia mula memasak namun bunyi pelik itu masih lagi kedengaran.

"Isteri tetap mahu teruskan memasak dan ketika dia menyalakan dapur gas dengan pemetik api, tiba-tiba api mula menyambar mujur tidak kena pada dia,"katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini semalam.

Mohamad Nidzam berkata, isterinya sekali lagi menelefon bagi memaklumkan kejadian itu dan memintanya segera pulang kerana api semakin merebak.

Cemas dengan keadaan itu, Mohamad Nidzam berkata, dia sempat menghubungi beberapa rakannya bagi meminta bantuan untuk menyelamatkan isteri dan tiga anak mereka.

"Memang saya tak boleh fikir apa ketika itu hanya terbayangkan muka isteri dan anak-anak. Sebaik sampai di depan rumah saya lihat hampir keseluruhan rumah sudah musnah dijilat api dan motosikal yang diparkir di bawah rumah juga musnah terbakar.

"Walaupun sedih dengan kejadian ini ditambah pula dengan kehadiran Ramadan dan Aidilfitri tidak lama lagi  namun saya bersyukur kerana isteri dan anak-anak terselamat daripada musibah ini," katanya.

Terdahulu, Mohamad Nidzam menerima kunjungan daripada pengurusan pasaraya Econsave Jawi yang menyampaikan bantuan keperluan asas dan barangan elektrik kepada keluarganya.

Pengurus Operasi Econsave Wilayah Utara, Zamzuri Mansor berkata, sumbangan berkenaan dibuat melalui tabung Dana Econsave Prihatin 2018 bagi membantu keluarga yang memerlukan dan ditimpa musibah.

"Kami mengetahui mengenai kejadian ini melalui laman Facebook selepas tular beberapa hari lalu dan terus menggerakan kakitangan untuk menyalurkan bantuan kepada mereka bagi meringankan beban dan kesedihan disebabkan bencana ini.

"Ini adalah salah satu khidmat sosial kami kepada masyarakat dan kita berharap Mohamad Nidzam sekeluarga tabah menghadapi dugaan ini," katanya.