KANGAR - Rakyat perlu menyokong usaha dilaksanakan kerajaan dan NGO bagi mengukuhkan perpaduan dalam  menghadapi pelbagai ancaman di dalam dan luar negara.

Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man berkata generasi yang lahir selepas merdeka mungkin tidak dapat menghayati dan memahami semangat patriotisme, kesetiaan dan kedaulatan negara.

“Di sini ada keperluan untuk kita mengisi semangat perjuangan kemerdekaan supaya rakyat pelbagai kaum tidak leka dibuai nikmat yang tidak ternilai,” katanya sebaik melepaskan konvoi Kembara Merdeka Negaraku peringkat negeri yang meneruskan jelajah ke Pulau Pinang di sini hari ini.

Seramai 107 peserta bersama 30 motosikal berkuasa 1,300 cc serta 18 pacuan empat roda menyertai program itu sejak 8 Ogos lepas dari Batu Pahat, Johor dan Perlis merupakan destinasi ke-21 konvoi tersebut.

Mereka dijadualkan singgah di 50 destinasi di semenanjung Malaysia yang berakhir pada 28 Ogos ini.

Azlan berkata, setiap program pengukuhan perpaduan rakyat adalah penting walaupun  penyertaan golongan sasar tidak ramai.

“Ia ada kaedahnya untuk menghidupkan dan menguatkan kembali semangat perpaduan yang menjadi resepi penting kejayaan Tanah Melayu mencapai  kemerdekaan,” tambahnya.

Dalam perkembangan lain beliau berkata sambutan dan perarakan Hari Kemerdekaan peringkat negeri dijadualkan bermula 10 malam 30 Ogos ini dan berakhir selepas detik 12 tengah malam bagi memberi peluang rakyat menonton perarakan peringkat kebangsaan melalui televisyen yang disiar secara langsung ke seluruh negara pada pagi 31 Ogos.- Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.