GEORGETOWN - Pulau Pinang bersedia mengambil alih semula Empangan Mengkuang namun Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) perlu menyiapkan dan melengkapkan beberapa syarat yang diberikan.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Datuk Jaseni Maidinsa berkata, walaupun empangan itu belum penuh sepenuhnya, pengambilalihan itu bertujuan sebagai persediaan menghadapi musim hujan dijangka hujung Ogos nanti.

Tambahnya, empangan itu kini hanya berkapasiti 24 peratus dan mengambil masa dua tahun untuk memenuhinya.

Menurutnya, beberapa syarat perlu dipenuhi antaranya membaiki 23 lokasi tanah runtuh yang berlaku dalam tempoh September hingga November tahun lalu di tapak empangan tersebut sebelum dibuka kepada orang ramai demi keselamatan mereka.

“Pulau Pinang bersedia mengambil alih Empangan Mengkuang yang diperbesarkan kepada 73.5 bilion liter oleh KeTTHA namun bersyarat. Antaranya,  KeTTHA harus memperuntukkan RM100 juta bagi pembinaan sebuah ampang jajar baru merentasi Sungai Muda di Rantau Panjang, Seberang Perai Utara (SPU) bagi menggantikan ampang jajar sedia ada yang berusia 46 tahun.

“KeTTHA perlu membina Rumah Pam Lahar Yooi yang pada asalnya bernilai RM80 juta di bawah ‘Rolling Plan 4’ kerana tanpanya, proses mengisi dan memenuhkan semula empangan yang diperbesarkan akan mengambil masa yang lama,” katanya kepada media tadi.

Jaseni berkata, KeTTHA juga akan menyiapkan projek saluran paip air mentah bernilai RM100 juta (pada asalnya) dari Rumah Pam Mak Sulong di Seberang Perai Tengah (SPT) yang baru dinaik taraf ke Terusan Sungai Dua menjelang Mac 2020.

Jaseni berkata, KeTTHA juga perlu menyerahkan keseluruhan tapak projek pembesaran empangan dan Rumah Pam Mak Sulong yang baharu dinaik taraf kepada Pulau Pinang.