GEORGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang mulakan rundingan dengan syarikat konsesi dan agensi kerajaan berkaitan bagi mempercepatkan tempoh pelaksanaan beberapa projek mega di negeri ini.

Ketua Menterinya, Chow Kon Yeow berkata, pihaknya mula membuat temu janji dengan syarikat konsesi bagi membincangkan tentang kemajuan projek dan segi pelaksanannya.

"Kita juga mendapat pemintaan daripada Prasarana dan juga Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) untuk berbincang bagaimana nak memajukan projek berkenaan," katanya selepas merasmikan Bazaar Ramadan anjuran Liga Muslim Pulau Pinang, di sini hari ini.

Tambahnya, memandangkan sekarang kerajaan negeri selari dengan kerajaan persekutuan, beliau berharap sekurang-kurang tempoh proses dokumentasi projek berkenaan dapat dipercepat.

Antara projek diklasifikasikan sebagai projek mega adalah projek terowong dasar laut yang merangkumi pembinaan tiga lebuh raya utama, projek Penambakan Pulau Pinang Selatan (PSR), Penang Sky Cab dan Transit Aliran Ringan (LRT) dengan anggaran keseluruhan kos sebelum ini bernilai RM46 billion.

Sementara itu, Chow yang menggantikan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng sebagai Ketua Menteri berkata, pelaksanaan projek dua lebuh raya utama menghubungkan Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu ke Air Itam dan Tanjung Bungah ke Teluk Bahang di bawah syarikat Zenith Consortium akan bermula dalam tempoh masa terdekat.

Katanya, kedua-dua lebuh raya utama ini akan dimulakan terlebih dahulu apabila telah mendapat kelulusan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) berbanding projek lain.

"Sebelum ini kita mempunyai masalah dari segi pengambilan tanah milik kerajaan persekutuan tetapi kini kerajaan persekutuan di bawah pentadbiran pimpinan Pakatan Harapan maka saya nampak dua lebuh raya di bawah Zenith Consortium ini telah sedia untuk dilaksanakan," katanya.

Projek-projek mega ini adalah di bawah Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) yang bertujuan untuk membantu mengatasi masalah kesesakan trafik di Pulau Pinang dan juga menghubungkan bahagian pulau dengan Seberang Perai.

Projek terowong dasar laut sepanjang 7.2km itu akan menghubungkan Persiaran Gurney ke Bagan Ajam di Seberang Perai manakala pembinaan lebuh raya utama itu merangkumi Jalan Berkembar Pesisir Utara sepanjang 10.53km dari Tanjung  Bungah ke Teluk Bahang, jalan pintas Air Itam-Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu sepanjang 5.7km dan jalan pintas Persiaran Gurney-Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu sepanjang 4.075km. - Bernama