GEORGETOWN - Pulau Pinang masih mengalami kekurangan pekerja dengan anggaran 20,000 orang yang diperlukan dalam usaha meningkatkan lagi pembangunan ekonomi di negeri ini.

Ketua Menterinya, Lim Guan Eng berkata, walaupun Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) menjangkakan 50,000 pekerja akan kehilangan pekerjaan pada tahun ini, namun perkara itu tidak akan berlaku di Pulau Pinang.

Menurutnya, kerajaan negeri menyasarkan kenaikan enam peratus untuk tahun ini berikutan Pulau Pinang mencatatkan pertumbuhan ekonomi dalam sektor pembuatan yang amat menggalakkan pada tahun lalu.

"Jika kita lihat pertumbuhan ekonomi pada tahun lalu, Pulau Pinang mencatatkan kenaikan yang amat menggalakkan dengan RM9.9 bilion untuk sembilan bulan pertama. Peningkatan itu sekali ganda dengan keseluruhan tahun sebelumnya iaitu RM4.3 bilion.

"Oleh demikian, untuk tahun ini, saya sasarkan peningkatan enam peratus dari sektor pembuatan. RM9.9 bilion hanya untuk sembilan bulan, masih ada baki tiga bulan, maka kita jangka akan naik lagi," katanya kepada media di sini tadi.

Sebelum ini, Kerajaan Pulau Pinang menyambut baik pengumuman Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) berhubung kenaikan pelaburan dalam sektor pembuatan di negeri ini.

Pulau Pinang berjaya menduduki tempat pertama dengan jumlah pelaburan RM7.7 bilion bagi separuh tahun ini berbanding RM4.3 bilion bagi keseluruhan tahun lalu.