BALING - Penduduk Kampung Sineyek Dun Bayu berdepan tiga kali banjir lumpur dalam tempoh kurang sebulan akibat penggondolan tanah seluas 3,000 hektar di atas Bukit Inas.

Difahamkan, projek itu diluluskan kerajaan BN kepada sebuah syarikat dari China bagi projek tanaman durian Musang King.

Kerja-kerja penggondolan tanah dilakukan di kompartmen 5 dan 6 sejak awal tahun ini.

Dalam kejadian kira-kira enam petang kelmarin, banjir lumpur yang dibawa daripada kawasan bukit sekali lagi melimpah masuk ke dalam kampung itu.

Ia menjejaskan lebih dua hektar tanaman penduduk termasuk sebahagian kebun getah kepunyaan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) Berhad.

Luluan Baling menghala ke arah pantai timur turut terhalang dengan runtuhan tanah bukit.

Penduduk, Hussin Majid, 68, berkata, bekalan air utama penduduk terputus sejak runtuhan tanah dan banjir lumpur kedua pada 9 Mei lalu.

Menurutnya, saluran paip menyalurkan air daripada bukit ke kawasan penduduk mengalami kerosakan selain tersumbat.

“Kampung ni ada lebih kurang 50 buah rumah, tetapi yang terputus bekalan air 10 buah rumah. Baki 40 rumah tak terjejas semuanya kawasan tinggi.

“Air bukit tu satu-satunya sumber minuman kami, di sini tak ada air Syarikat Air Darul Aman (SADA),” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di lokasi tanah runtuh, semalam.

Tambahnya, jalan kampung tersebut bakal terputus sekiranya banjir lumpur berulang. Katanya, masalah itu memaksa dia berulang alik lebih lima kilometer ke Kampung Iboi untuk mendapatkan sumber air.

“Setiap petang pakcik akan ke Kampung Iboi untuk ambil air masyarakat dari Kampung Iboi. Air tulah guna untuk buka puasa.

“Kalau nak mandi kami terpaksa air daripada parit kampung ni,” katanya.

Hussin berkata, tanah runtuh di laluan Baling-Grik mengancam nyawa ramai pengguna.

“Sebelum ni dah ada kereta tayar pecah sebab kes tanah runtuh, kereta terbabas pun ada.

“Orang kampung memang tak setuju dengan projek ni, laporan polis dan bantahan sudah dibuat,” katanya.

Tambahnya, sebuah stesen minyak berhampiran lokasi tanah runtuh berisiko ditenggelami banjir lumpur.

Md Isa menunjukkan kawasan kebun pisang yang ditenggelami banjir lumpur.

“Jika hujan lebat lebih tiga atau empat jam, banjir lumpur mesti akan melimpah sampai ke situ.

“Dekat kampung kami pun banjir lumpur melimpah laju sedalam tujuh kaki, bunyinya memang menakutkan. Jika siapa tak sempat lari tak taulah,” katanya.

Jejas tanaman dan ternakan

Penternak dan pekebun, Md Isa Dollah, 62 berkata, lebih 20 ekor ayam ternakan miliknya mati akibat ditenggelami banjir lumpur.

Katanya, kejadian tiga kali dalam tempoh kurang sebulan itu turut merosakkan 200 pokok pisang serta menenggelamkan 0.5 hektar kebun getahnya.

“Dah tak boleh nak buat apa sekarang ni, ayam mati, pokok pisang pun habis rosak,” katanya.

Penduduk, Sidik Saad,60, berkata, dia telah menghabiskan RM3,000 bagi mengorek saluran parit serta menambun tanah di jalan kampung berisiko runtuh.

Katanya, alternatif itu terpaksa diusahakan selepas pihak berwajib di bawah kerajaan BN lepas tangan terhadap aduan penduduk.

“Pakcik korek parit guna duit sendiri untuk bolehkan air banjir lalu termasuk tambun tanah untuk jalan kampung nak runtuh.

“Tak buat macam tu siapa nak buat? Tapi masalah tetap tak selesai bila banjir berlaku,” katanya.

Tinjauan Sinar Harian mendapati kerja-kerja pembersihan jalan raya di lokasi tanah runtuh sedang dilakukan Jabatan Kerja Raya ( JKR) dan syarikat terbabit.

Benteng pengadang turut dibina syarikat berkenaan bagi menghalang banjir lumpur melimpah masuk ke kawasan rumah penduduk.

Namun benteng dibina kelihatan semakin terhakis dan berpotensi pecah pada bila-bila masa.

Sementara itu, Pengarah Pilihan raya Harapan Parlimen Baling, Mohd Taufik Yaacob berkata, kerajaan BN meluluskan pajakan tanah kepada sebuah syarikat luar negara dalam jangka masa lama.

“Kelulusan itu dibuat kerajaan lama kepada sebuah syarikat luar negara bagi memajukan tanah untuk tanaman dipercayai durian musang king.

“Tetapi saya tidak boleh nyatakan berapa tempoh masa pajakan, saya kena semak semula,” katanya.

Beliau berkata, isu itu akan dibawa kepada Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir supaya dapat diselesaikan dengan baik.