KUBANG PASU - Lima premis yang disyaki menjalankan aktiviti perjudian diserbu polis di sekitar pekan Jitra dan Changlun, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Supt Mohd Ismail Ibrahim berkata, operasi tiga jam bermula 3 petang menumpukan premis yang memiliki lesen Pusat Hiburan Keluarga (PHK) yang dikeluarkan Pejabat Daerah Kubang Pasu kira-kira dua bulan lalu.

"Pemeriksaan bagi memastikan premis itu tidak menyalahgunakan lesen PHK dan beroperasi mengikut syarat lesen.

" Kita syak mereka jalankan perjudian kerana sepanjang tempoh lesen diberikan, premis tidak dibuka," katanya kepada media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu, di sini, hari ini.

Terdahulu, sepasukan dua pegawai dan lapan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kubang Pasu terpaksa menggunakan alat pemotong besi untuk memasuki kesemua premis berkenaan yang berkunci.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati kesemua premis itu kosong dan tanpa penghuni termasuk dua premis di Changlun.

"Kita akan teruskan membuat pemantauan dari masa ke semasa bagi mengekang aktiviti perjudian  di daerah ini termasuk judi dalam talian (online) dan judi ekor katanya," katanya.- Bernama