ALOR SETAR - Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Langkawi membantah cadangan Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli untuk membina sebuah loji rawatan air baharu di pulau itu yang dilihat akan menjejaskan sektor pertanian di situ.

Pengerusinya Hassim Saad berkata, rancangan untuk membina loji rawatan yang menyedut air dari kawasan Sungai Melaka di pulau itu, akan menjejaskan kira-kira 3,000 petani yang bergantung kepada sungai tersebut untuk membekalkan air ke tanaman mereka.

"Sungai Melaka adalah satu-satunya sungai yang membekalkan air untuk penanaman padi di tiga mukim iaitu Mukim Padang Maksirat, Mukim Bohor dan Mukim Ulu Melaka dan kerja-kerja mengepam air dari sungai itu untuk kegunaan domestik telah dilakukan sejak sekian lama.

"Keadaan ini menyebabkan bekalan air untuk kegunaan pertanian bagi sawah padi gagal disalirkan dengan mencukupi sehingga menjejaskan tanaman dan pendapatan petani di Langkawi," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Tambah beliau, ketika ini petani di tiga mukim tersebut telah pun berdepan risiko tidak menentu terutama pada musim kemarau yang menyebabkan paras air sungai itu cetek dan tidak berupaya membekalkan air mencukupi ke kawasan pertanian.

Sekiranya rancangan membina loji rawatan itu diteruskan dengan menyedut air dari sungai tersebut, Hassim berkata, ia dijangka memberi kesan yang lebih buruk kepada petani.

Katanya, PPK akan mengemukakan perkara itu kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga Ahli Parlimen Langkawi bagi mencari penyelesaian terbaik.

Hassim berkata, daripada membina loji rawatan air baharu, pihaknya mencadangkan agar kerajaan membina saluran air dasar laut dari Kerpan, di sini ke Pulau Langkawi untuk membekalkan air sekali gus mengelak perebutan air untuk kegunaan domestik dan pertanian.

Pada 27 November lalu, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar berkata kementerian sedang berbincang dengan Syarikat Air Darul Aman (SADA) dan sebuah syarikat swasta bagi membina sebuah loji rawatan air baharu untuk menambah bekalan air terawat di Pulau Langkawi.

Katanya loji baharu itu berupaya merawat 21 juta liter air sehari (MLD) dan syarikat berkenaan memaklumkan bahawa pihak mereka mampu membina loji itu dalam masa enam bulan melalui penggunaan teknologi baharu.

Dr Xavier bagaimana pun tidak menyatakan secara terperinci mengenai pembinaan loji rawatan air baharu itu termasuk sama ada akan menyedut air dari Sungai Melaka. - Bernama