BUKIT MERTAJAM - Polis menahan empat lelaki anggota geng samun termasuk dua lelaki dipercayai menyamun sepasang suami isteri dan mencederakan mangsa dalam kejadian awal pagi Jumaat di sebuah stesen minyak Lebuhraya Utara-Selatan menghala selatan di sini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata empat lelaki berusia 20 hingga 29 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Simpang Ampat, Permatang Buloh di Kepala Batas kira-kira jam 8.30 malam semalam.

"Dalam kejadian itu, sepasang suami isteri berhenti rehat dan tidur di stesen minyak berkenaan pada pukul 11.45 tengah malam (Khamis) sebelum tiba-tiba empat jam kemudian mereka dikejutkan dengan kehadiran dua lelaki yang bertindak memecahkan cermin kereta sebelah pemandu.

"Seorang daripada suspek telah cuba merampas dan menarik beg milik suami namun mangsa serta isterinya cuba menarik balik beg itu menyebabkan dua lelaki tersebut naik berang dan terus melepaskan tumbukan bertalu-talu ke arah pasangan tersebut," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata mangsa sempat membunyikan hon kereta dan menyebabkan dua lelaki itu panik sebelum melarikan diri dengan motosikal yang berjaya dicam oleh pasangan berkenaan.

Nik Ros Azhan berkata bertindak hasil maklumat mangsa, polis berjaya mengesan rumah suspek dan menahan empat lelaki termasuk dua suspek dan merampas sebuah motosikal serta helmet penuh dan beberapa barangan seperti spanar, telefon bimbit dan beg silang.

"Siasatan awal mendapati mereka mengaku terlibat dalam beberapa kejadian pecah cermin kereta dan samun mangsa di sekitar SPT, Seberang Perai Utara dan Seberang Perai Selatan sejak awal tahun ini. Suspek juga bertindak mencederakan mangsa jika melawan," katanya.

Katanya empat lelaki yang mempunyai pelbagai rekod kesalahan lampau berkaitan dadah serta jenayah itu kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan.  

Dalam perkembangan lain, beliau berkata polis menahan seorang lelaki berusia 28 tahun kerana terlibat kes curi tabung syiling di beberapa stesen minyak dan masjid di sekitar daerah itu dalam serbuan di Kubang Semang, semalam.

Katanya lelaki yang tidak bekerja itu ditahan kira-kira pukul 4.15 petang dan dia bertindak mencuri duit kerana mahu membeli dadah serta terlibat dalam kegiatan tersebut sejak beberapa bulan lepas.

"Lelaki yang positif dadah itu kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan dan kes disiasat menurut Seksyen 380 Kanun Keseksaan," katanya. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • BUKIT GANTANG - Seorang lelaki berusia 38 tahun dilaporkan hilang selepas dipercayai keluar rumah untuk mencari asam gelugor di kaki bukit Kampung Senduk Ulu, di sini.
  • KUALA LUMPUR - Polis masih menyiasat berhubung tindakan liar remaja lelaki sengaja mencampak kon dari tingkat atas sebuah kediaman bertingkat yang tular di media sosial sejak Khamis.
  • YAN - Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Yan berjaya menyelesaikan beberapa kes jenayah membabitkan harta awam susulan beberapa siri tangkapan dan serbuan dijalankan di daerah ini sejak bulan Disember tahun lalu hingga awal bulan Februari tahun ini.
  • SUNGAI SIPUT - Laluan alternatif di Jalan Besar Sungai Siput (U) selamat digunakan terutamanya pada musim perayaan.
  • KUANTAN - Dua keluarga dari Taman Perumahan Aspa Cottage di sini menjadi mangsa samun bersenjata dalam tempoh 48 jam.