PENDANG - Komited membanteras kegiatan penyalahgunaan dadah dalam kalangan masyarakat, pihak polis daerah Pendang telah menjalankan aktiviti bergotong-royong memusnahkan tiga tempat tumpuan penagih dadah bersama penduduk Kampung Charuk Kudung, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Supritenden Fadzil Hashim berkata aktiviti gotong-royong diadakan di tiga lokasi yang telah dikenal pasti sekitar kampung berkenaan.

"Selain daripada penduduk kampung, pihak polis turut mendapat kerjasama baik daripada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK); Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM); Jabatan Penerangan; Rela, dan banyak lagi," katanya.

Katanya, dari semua agensi terbabit, dianggarkan hampir 150 orang yang bertungkus lumus membersihkan tiga kawasan ini.

"Pemusnahan lokasi yang menjadi tumpuan penagih adalah bertujuan menghalang aktiviti mereka daripada berterusan.

"Kita sangat komited membanteras gejala dadah dalam kalangan masyarakat dan berharap ia akan berhasil," katanya.

Menurut Fadzil, selain daripada itu juga, kerjasama daripada semua pihak amat diperlukan bagi melaporkan aktiviti penyalahgunaan dadah di kawasan mereka kepada pihak berwajib," katanya.