GEORGETOWN - Polis akan memanggil Ketua Menteri, Lim Guan Eng bagi merakamkan percakapan berhubung dakwaan mengeksploitasikan kanak-kanak menerusi lagu bermelodi ABC berbaur politik.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk A Thaiveegan berkata, Guan Eng akan dipanggil dalam masa terdekat untuk polis melengkapkan siasatan.

Menurutnya, sehingga kini, polis menerima tiga laporan polis dan sudah memanggil tiga pengadu tersebut untuk keterangan lanjut.

“Selepas ini, kita akan panggil orang yang didakwa pelaku (dalam laporan polis) iaitu ketua menteri untuk soal siasat,” katanya kepada media tadi.

Sebelum ini, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik membuat laporan polis ke atas Guan Eng kerana didakwa berpolitik menggunakan kanak-kanak ketika merasmikan sebuah pusat tuisyen di Jelutong, Sabtu lalu.

Guan Eng menyanyikan lagu bermelodi ABC yang diubah liriknya kepada GST dan berbaur politik itu ketika melancarkan Pusat Tuisyen Rakyat di Flat Mutiara Idaman 2, Jelutong, di sini.