KUALA NERANG - Sebuah rumah di Kampung Banggol Sembilan, Padang Sanai di sini dihempap pokok getah ketika dikunjungi tetamu untuk beraya.

Shahruddin Darus, 66, berkata, dalam kejadian berlaku pada jam 3.50 petang semalam itu, tetamu terpaksa berkeliaran lari keluar dari rumah.

Katanya, semasa kejadian angin sangat kuat dan mereka tidak menyangka pokok getah berhampiran dengan rumahnya itu boleh tumbang.

“Sebelum pokok getah tumbang hempap rumah saya, bekalan elektrik terputus seketika menyebabkan kami semua mula merasa bimbang sesuatu akan terjadi.

“Beberapa minit kemudian bekalan elektrik dapat dipulihkan kembali dan tiba-tiba terdengar seperti bunyi kuat di atas bumbung hingga mengejutkan semua tetamu di ruang tamu.

“Bunyi itu menyebabkan kami bertempiaran lari dan berteduh di garaj kereta,” katanya.

Menurut Shahruddin, bimbang keadaan bumbung yang semakin tidak selamat, dia menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat bagi membantu memotong pokok yang menghempap rumahnya.

“Bumbung rumah itu baru dua tahun saya tukar dengan nilai RM2,000.

“Bagaimanapun saya bersyukur tiada sebarang kecederaan dialami kami sekeluarga serta tetamu. Buat masa sekarang, kami terpaksa berpindah ke rumah anak dan saudara terdekat untuk berteduh,” katanya.  

Menurut Shahruddin, dia memerlukan RM5,000 bagi membaiki keseluruhan bumbung rumahnya.

Bagi mereka yang ingin membantu boleh menyalurkannya menerusi akaun Maybank 152068986201 atas nama Mohd Fitri Shahruddin.