ALOR SETAR - Kenakalan empat sekawan mengusik kanak-kanak pulang dari mengaji al-Quran dengan menyamar hantu pocong membawa padah apabila ditahan polis di Pekan Bukit Pinang, di sini, Jumaat lepas.

Mohd. Imran Mohammad, 16, yang berpakaian seperti hantu pocong ditahan bersama Muhammad Syazani Johari, 18; Muhammad Ramadhan Fitri Shuib, 15, dan Nabil Asyraff Hussain, 14, kira-kira jam 10 malam.

Lebih melucukan, video berdurasi lebih kurang 42 saat menampilkan gelagat Imran melompat seperti pocong menjadi tular di laman sosial Facebook sejak Sabtu lepas.

Dalam video itu, Imran yang memakai selimut berwarna kelabu didenda melompat tanpa henti lebih kurang 15 minit kerana didakwa cuba mengganggu penduduk setempat.

Bagaimanapun, Imran berkata, dia dan rakan-rakannya kini sudah menyesal atas perbuatan mereka menakutkan orang ramai dengan berpakaian hantu pocong sehingga ditahan polis.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd. Rozi Jidin mengesahkan kejadian di Bukit Pinang itu.

Menurut beliau, pihak polis memberi nasihat dan membebaskan remaja itu selepas mendapati ia hanya perbuatan nakal kumpulan itu semata-mata.