POKOK SENA - Nasib yang menimpa pesakit kanser esofagus (saluran makanan) tahap empat, Zulkifli Yusof,44, dari Kampung Sungai Durian , di sini, mendapat simpati daripada Persatuan Sukarelawan Kanser (CSM) Kedah semalam.

Pengerusi CSM Kedah, Zuraini Kamal berkata, pihaknya sangat simpati dengan kehidupan yang dijalani oleh pesakit itu yang bergantung kehidupan kepada ibunya, Zarah Man,63.

Katanya, pihaknya sangat kagum dengan ibu tunggal itu yang sanggup menjaga anaknya yang berstatuskan orang kurang upaya (OKU) dan menghadapi penyakit kanser.

“Walaupun hanya dengan mendapat bantuan sebanyak RM400 sebulan, tetapi ibu tunggal itu terpaksa berniaga dengan menjual kuih bagi menampung perbelanjaan anaknya itu.

“Saya difahamkan Zulkifli hanya minum susu khas yang berharga RM80 setin. Setiap bulan ibu tunggal itu terpaksa memperuntukkan sebanyak RM640 untuk membeli susu khas anaknya itu,’ katanya.

Menurut Zuraini, pihaknya turut  menyampaikan sumbangan berupa pakaian, susu, telekung dan barang keperluan asas bagi meringankan beban keluarga itu.