POKOK SENA - Seorang remaja, Joice Norin Jwisha,18, dari Kampung Nawa di sini merayu kepada kedua ibu bapanya supaya dapat bertemu dengannya selepas berpisah sejak kecil.

Menurutnya, sehingga kini dia tidak tahu lokasi kedua ibu bapanya yang dipercayai berpisah sebelum dilahirkan hingga terpaksa tinggal dengan seorang wanita.

Katanya, bapanya dikenali dengan Samidin Sulaiman, 64, dan alamat terakhirnya ialah Kampung Berembang Hilir, Jalan Jelantik, Kuala Lumpur dan ibunya pula, Warsinten, 53, tinggal di Pandan Indah, Kuala Lumpur.

“Ibu bapa saya berketurunan Indonesia namun hanya bapa seorang sahaja mendapat taraf penduduk tetap Malaysia. Saya telah melakukan pelbagai usaha mencari mereka termasuk mengunjungi ke alamat akhir mereka tetapi gagal.

“Sejak kecil saya dibesarkan oleh seorang wanita yang dipanggil mak cik, di Kuala Lumpur sehinggalah berumur 10 tahun kemudian ditinggalkan begitu sahaja. Semasa itu kehidupan saya tidak menentu walaupun mempunyai dokumen peribadi lengkap,” katanya.

Menurut Joice Norin Jwisha, selepas beberapa hari kehidupannya terbiar hinggalah berjumpa dengan seorang wanita yang simpati dengannya selepas mengadu kelaparan.

“Sejak itu saya mula tinggal dengan wanita itu dan menganggapnya sebagai ibu angkat sehinggalah hari ini. Sebelum ini ibu angkat saya  tinggal di Bandar Baru Bangi dan kemudiannya berpindah ke Pokok Sena.

“Semasa tinggal bersama ibu angkat, nama saya juga turut ditukarkan kepada Puteri Sarah Alisya. Saya sangat merindui kedua ibu bapa walaupun ibu angkat saya turut menjaga dengan baik,” katanya.

Ibu angkatnya, Nor Idayu Abd Latif,30, berkata, dia sangat berharap kedua ibu bapa remaja perempuan itu tampil bagi menemui anak mereka yang berpisah sekian lama.

Katanya, selama membesarkan Puteri Nur Sarah Alisya sejak lapan tahun lalu, dia melayan gadis itu seperti anaknya sendiri termasuk menghantarnya ke sekolah sehingga tamat menduduki Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3).

“Namun selepas tamat Tingkatan Tiga, dia tidak lagi mahu ke sekolah kerana mengalami kemurungan setelah sering diejek dan dihina oleh rakan-rakan sekolah kerana statusnya.

“Kini dia terpaksa belajar secara persendirian untuk menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) supaya dapat menjamin masa depannya nanti,” katanya.  

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai ibu bapa Puteri Nur Sarah Alisya boleh menghubungi Pejabat Kebajikan Masyarakat Pokok Sena menerusi Mohd Jefri Mukhti di talian 04-7821915.