KULIM - Umno Padang Serai akan mengambil langkah memberi kefahaman politik kepada pengundi muda supaya tidak mudah terpedaya dengan dakyah politik setiap kali tibanya PRU.

Ketua Umno Bahagian Padang Serai, Datuk Asmadi Talib berkata pengundi muda perlu bijak dan memahami apa erti politik sebenarnya dan bukan hanya bertindak mengikut dakyah politik tanpa memberi penilaian sebenar.

Menurutnya, kefahaman tentang politik di kalangan orang ramai, terutama golongan muda sangat penting terutama untuk memilih kerajaan yang tepat sebagai pemerintah.

“Apakah yang mereka akan dapat, jika pilih pemimpin itu. Adakah hak mereka akan terus terbela terutama kaum Melayu.

“Ini penting untuk diberi ilmu pengetahuan kepada mereka, bukan mereka memberi undi hanya kerana terpengaruh orang cakap nak ubah kerajaan, jadi semua ubah.

“Sekurangnya mereka tahu apa yang mereka pilih itu betul, tidak kisah sama ada nak pilih mana-mana pemimpin pun sama ada Umno, Harapan atau Pas,”katanya.

Selain itu, Asmadi turut mencadangkan supaya kerajaan baharu ini tidak mengetepikan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang telah berkhidmat untuk rakyat di bawahan.

“Saya berpendapat JKKK ini boleh terus digunakan khidmat mereka, kerana mereka hanya ditugaskan untuk membantu penduduk tanpa ada rasa sentimen politik.

“Saya rasa wajar kerajaan baru ini terus memberi kepercayaan kepada mereka untuk terus menggalas tanggungjawab itu terutama yang komited membantu rakyat,” katanya.