• Penduduk menunjukkan kawasan timbunan konkrit yang mengganggu laluan motosikal. Penduduk menunjukkan kawasan timbunan konkrit yang mengganggu laluan motosikal.
1 /

KODIANG - Seorang peniaga pernah beberapa kali melihat kemalangan kecil melibatkan penunggang motosikal terbabas dan ‘terbang’ akibat terlanggar timbunan konkrit berdekatan premis perniagaannya di Kilometer 25 Jalan Kodiang-Jitra, dekat sini.

Marzuki Man, 45, yang sudah berniaga sejak tiga tahun lalu berkata, timbunan konkrit itu milik sebuah syarikat pemaju yang menjalankan aktiviti pembinaan tapak.

Menurutnya, ia diletakkan berhampiran laluan pintu masuk utama projek itu sehingga melibatkan laluan penunggang motosikal sejak beberapa bulan lalu.

“Setakat ini hampir enam kali saya menyaksikan kemalangan kecil membabitkan penunggang motosikal, terutamanya berlaku pada sebelah petang dan malam tetapi sehingga kini belum melibatkan kematian.

“Berikutan kejadian itu dilihat bertambah, perkara ini sangat membimbangkan penduduk sekitar dan orang luar yang menggunakan laluan itu,” katanya.

Marzuki berkata, dia tidak menafikan sepanjang jalan itu terdapat lampu jalan namun, kemungkinan timbunan konkrit itu warnanya sekata apabila terkena cahaya lampu.

“Ada juga sesetengah penunggang motosikal terbabas akibat mengelak dari terlanggar konkrit berkenaan sebelum dirempuh kenderaan lain dari arah belakang.

“Jadi, saya memohon kepada pihak terlibat supaya memantau keadaan berhubung kejadian ini dan syarikat pemaju berkenaan untuk membuang timbunan konkrit itu sebelum keadaan bertambah buruk,” katanya.

Sementara itu, Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKP) Kampung Kodiang Lama Luar, Ku Azlan Ku Mat, berkata, pihaknya tidak menafikan kemalangan kecil sering berlaku disebabkan timbunan konkrit itu sejak kebelakangan ini.

Menurutnya, konkrit itu dibina sehingga menutupi laluan motosikal dan kawasan berkenaan adalah laluan utama penduduk menjalankan aktiviti seharian mereka.

“Perkara ini sudah dimaklumkan kepada syarikat berkenaan namun, tiada tindakan diambil sehinggalah kejadian sama berulang.

“Saya memohon pihak berkenaan menyelesaikan perkara ini secepat mungkin untuk memberikan kebaikan kepada semua pihak,” katanya.