Peniaga gadai nyawa
Peniaga berharap tapak niaga yang lebih sempurna dapat disediakan.

TEBENGAU - Setiap hari lebih 10 peniaga barangan basah seperti ikan, udang dan siput terpaksa berdepan bahaya sewaktu menjalankan perniagaan di bahu jalan, di sini.

Tinjauan Sinar Harian mendapati jalan Tebengau menghala Yan itu turut digunakan kenderaan berat yang memandu laju.

Peniaga, Muhamad Hafiz Sudin, 23, berkata, perniagaan ikan yang dijalankan hampir enam tahun di kawasan itu sentiasa memberi pulangan hebat terutama pada musim perayaan.

Menurutnya, terdapat pengunjung yang sanggup datang dari jauh semata-mata untuk membeli ikan segar yang mula dijual pada jam 9 pagi.

“Kedudukan tapak niaga di bahu jalan memudahkan pengunjung berhenti dan membeli barangan keperluan mereka. Namun, dalam masa sama peniaga mahupun pengunjung perlu
sentiasa berhati-hati sewaktu berurus niaga kerana bimbang dengan kenderaan yang terlalu laju,” katanya kepada Sinar Harian.

Biarpun terpaksa berdepan dengan bahaya namun, peniaga di kawasan itu tiada pilihan lain dan terpaksa berniaga demi mencari rezeki.

Muhamad Hafiz berkata, setakat ini belum pernah berlaku kemalangan membabitkan peniaga namun, mereka sering terkena serpihan batu kecil dan habuk akibat kenderaan berat seperti lori tanah melintasi kawasan tersebut.

Dia berharap pasar kecil dapat dibina untuk menempatkan peniaga di kawasan itu menjalankan perniagaan tanpa perlu dihantui perasaan bimbang.

Peniaga, Ishak Hashim, 45, berkata, tapak niaga berkenaan telah berusia lebih 10 tahun sebelum ia dipindahkan dari tapak niaga lama yang terletak di kawasan berhampiran.

Menurutnya, sewaktu di tapak niaga lama mereka kurang mendapat sambutan berbanding tapak sedia ada kini yang turut berdepan masalah terutama pada musim hujan.

“Jika musim hujan, pelanggan kurang kerana air akan bertakung di jalan dan tapak niaga serta peniaga sering terkena tempias akibat kenderaan yang memandu laju.

“Kami juga terpaksa berhati hati apabila hujan kerana bimbang akan terkena tempias pada ikan yang hanya diletakkan atas papan lapis dan tong ais sahaja,” katanya.

Ishak berkata, peniaga amat berharap pihak yang bertanggungjawab dapat menyediakan kemudahan yang lebih selesa bagi memudahkan perniagaan dijalankan.

Artikel Berkaitan
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.