ALOR SETAR - Kerajaan Kedah melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JAIK) akan bekerjasama dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Kedah dalam memberi penerangan tentang isu keselamatan dan kebakaran kepada 104 buah Sekolah Agama Rakyat (SAR), sekolah pondok dan tahfiz di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pelancongan dan Warisan dan Kerja Raya, Datuk Mohd Rawi Abd Hamid berkata, penerangan secara berkala memang diberikan kepada pelajar di sekolah-sekolah berkenaan oleh pihak sekolah dan bomba.

"Cuma kami akan minta Bahagian Unit Sekolah JAIK untuk bekerjasama dengan bomba dalam memberi pendedahan tentang isu keselamatan dan kebakaran kepada pihak sekolah bagi mengelak daripada berlakunya kemalangan jiwa. Semasa perhimpunan sekolah atau dalam tazkirah perlu diselit tentang isu keselamatan ini.

"Ada pelajar yang masih muda yang tidak tahu apa perlu dilakukan sekiranya berlaku kebakaran sebab itu pendedahan awal dan secara berkala perlu diberikan kepada pelajar sekolah dan pihak pengurusan sekolah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kebakaran yang berlaku di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Jalan Datuk Keramat, Kuala Lumpur, awal pagi tadi yang mengorbankan 23 mangsa.

Mohd Rawi berkata pihak sekolah perlu membuat semakan dan kajian terhadap sistem pendawaian di sekolah yang mungkin telah lama tidak diperiksa dengan menjalankan pemeriksaan pendawaian dua kali setahun.       

"Ada sekolah yang membuat penyambungan pendawaian secara tradisional yang boleh mendatangkan risiko kerana pada masa akan datang pendawaian tidak dapat bertahan lama, cepat panas hingga menyebabkan berlakunya kebakaran.

"Ubat nyamuk yang dipasang juga boleh menjadi punca kepada berlakunya kebakaran. Perkara ini boleh berlaku sekiranya aspek keselamatan tidak diambil berat," katanya.

Beliau tidak mahu kebakaran yang terjadi di Sekolah Menengah Agama Taufikiah Khairiah Al-Halimiah atau lebih dikenali sebagai Pondok Pak Ya pada 22 September 1989 hingga mengorbankan 27 pelajar berulang di Kedah. –Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SUNGAI PETANI - Yayasan Warisan Kedah Tua akan diwujudkan dalam usaha merealisasikan cadangan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah, dalam membangunkan Tapak Arkeologi Sungai Batu yang diiktiraf sebagai Tamadun Tertua Asia Tenggara pada 2016.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.