KULIM - Seorang peniaga di Kampung Keladi meminta pihak berwajib memantau aktiviti pembuangan sampah yang berlaku berhampiran rumahnya kira-kira lapan bulan lalu.

Rahimah Rahmad,50 berkata, aktiviti pembuangan sampah itu juga mengundang keraguan memandangkan ia dilakukan di kawasan kediaman penduduk.

“Sebelum ini tak ada, tapi sejak lapan bulan lalu kawasan berhampiran rumah saya dipenuhi sampah seperti sisa binaan sehingga menjadi timbunan.

“Saya tak tahu sama ada kawasan itu adalah tempat pembuangan sisa tersebut atau dibuang secara tidak sah,” katanya.

Menurutnya, sisa tersebut juga menyebabkan parit di kawasan tersebut sumbat sehingga menyebabkan berlakunya takungan air.

“Dulu tanah di kawasan rumah saya ini kering sahaja, sejak lapan bulan lalu jadi seperti paya walaupun tak hujan.

“Saya bimbang juga akan jadi tempat pembiakan nyamuk Aedes yang akan memberi kesan kepada semua orang kampung,” katanya.

Rahimah berkata, aduan juga telah dibuat kepada pihak berkenaan termasuk Jabatan Kesihatan, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan SWCorp.

“Saya sudah hubungi semua pihak terbabit dan ada tindakan dibuat seperti Jabatan Kesihatan, mereka periksa dan buat semburan asap, SWCorp juga telah datang bersihkan sisa buangan tersebut.

"Namun saya berharap pantauan harus dilakukan secara berterusan supaya tidak timbul masalah lain terutama wabak Denggi,” katanya.