BALING - Pas Kawasan Baling memohon status daripada kerajaan negeri berhubung dakwaan pembalakan yang bakal dijalankan di Hutan Simpan Rimba Teloi dalam Dun Kupang.

Adun Bayu, Abd Nasir Idris berkata, pihaknya menerima aduan penduduk yang bimbang pembalakan itu dijalankan.

Menurutnya, pertemuan bersama penduduk dibuat dan mereka sebulat suara menentang projek berkenaan.

"Kita mohon penjelasan berhubung status terkini projek itu," katanya.

Katanya, penduduk dari enam kampung bakal terjejas bekalan air masyarakat sekiranya pembalakan dibuat.

"Kampung terlibat ialah Asam Jawa, Banggol, Pajak, Bukit Hitam, Padang dan Charok Gorok. Kita bimbang pembalakan juga akan menjejaskan Pusat Rekreasi Lata Bayu.

"Jika projek ini menjejaskan bekalan air bersih, kita tuntut ia dibatalkan. Kita harap kerajaan baru kaji semula projek ini," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Jawatankuasa Bertindak Isu Pembalakan Hutan Simpan Rimba Teloi, Mohd Lazim Khamis berkata, difahamkan syarikat terlibat membayar premium kepada kerajaan negeri.

Terdahulu, Abd Nasir; Adun Kuala Ketil, Mejar (B) Mansor Zakaria; wakil Adun Kupang serta wakil Ahli Parlimen Baling mengadakan pertemuan bersama penduduk di Dewan Orang Ramai Kampung Asam Jawa.