ALOR SETAR - Rakyat tidak akan yakin pada parti politik yang ‘berseorangan’ walaupun parti itu bertanding sebanyak mungkin kerusi dipertandingkan pada PRU14.

Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ini kerana pendekatan parti itu tidak mampu untuk membentuk kerajaan sekiranya berjaya memenangi banyak kerusi.

Menurutnya, pendekatan parti itu juga tidak sesuai dengan negara ini yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.

“Mana-mana parti politik tidak boleh secara sendirian membentuk kerajaan. Pengundi tak akan beri kepercayaan kepada agenda parti itu kerana kita harus ingat Malaysia pelbagai kaum dan perlu beri perhatian kepada aspirasi semua,” katanya, selepas Sembang Santai dan perasmian pusat operasi Dun Bukit Pinang, semalam.

Mohamed Azmin berkata demikian ketika mengulas tindakan Pas bertanding di 160 kerusi Parlimen sama ada ia permainan politik parti itu untuk memecahkan undi Melayu, seterusnya memberi kemenangan kepada BN.

Naib Presiden Harapan itu berkata, pihaknya yakin rakyat akan menerima kejujuran Harapan yang menunjukkan kesefahaman bersama, walaupun berbeza ideologi politik, berbanding memilih parti yang menampilkan imej kononnya mewakili seluruh negeri namun tidak rasional daripada aspek implementasi dan tindakan.