• Shauqi Afifi berazam mampu menjadi pendakwah kecil dan saintis Islam suatu hari nanti. Shauqi Afifi berazam mampu menjadi pendakwah kecil dan saintis Islam suatu hari nanti.
1 /

SUNGAI PETANI – “Banyak berdamping dengan al-Quran membuatkan jiwa saya tenang, sentiasa bersikap positif dan tidak lagi gugup berbanding sebelum ini."

Demikian luahan Shauqi Afifi Shamsudin, 12, yang tekad menjadikan al-Quran sebagai sahabat setia dalam setiap langkah selain membantu menenangkan jiwanya yang bakal berhadapan dengan peperiksaan besar hujung tahun nanti.

Tidak seperti kanak-kanak lain yang masih mempunyai masa bermain bersama rakan sebaya, Shauqi yang merupakan murid Sekolah Kebangsaan Tasik Apong, Sungai Petani memaklumkan, dia lebih suka membaca al-Quran yang dijadikan hobi masa terluang.

Aktif mendeklamasi sajak, menjadi tekong dikir barat, menyertai boria, johan pertandingan azan dan tilawah al-Quran, Shauqi memaklumkan, minatnya menyertai pelbagai pertandingan pentas bermula sejak berusia sembilan tahun.

Kini dia mewakili negeri Kedah sebagai finalis pertandingan Adik-adikku Musim ke-empat yang bakal berentap bersama empat peserta lain di pentas akhir pada 5 Jun nanti di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Ibunya, Fatimah Zakaria, 43, berkata, dia dan suami, Shamsudin Jusoh, 49, mengakui anak sulung daripada tiga beradik itu aktif sejak kecil.

“Bagaimanapun, semasa bayi, Shauqi Afifi seorang yang kuat menangis sehinggakan kami (ibu bapa) tidak senang duduk apabila dia mula menangis,” katanya.

Menurut Fatimah, bagi mengatasi masalah itu, dia dan suami sentiasa memastikan buaian disediakan di rumah, semasa balik kampung atau ke mana sahaja  termasuk di dalam kereta.

“Puas kami berubat untuk memulihkan semangatnya, tetapi benar kata orang tua, sebenarnya itu adalah sebahagian daripada proses pembesaran seorang bayi.

“Sehingga umurnya genap setahun pada12 Disember 2001, barulah dia berhenti menangis,” katanya.

Sementara itu, menurut Shamsudin, minat Shauqi berdakwah telah disedari sejak berusia lima tahun apabila dia sering dijadikan penghibur dalam kalangan saudara yang memintanya menyanyi atau bernasyid.

“Ramai saudara memuji suaranya yang dikatakan sesuai menjadi pendakwah suatu hari nanti,” katanya.

Menurutnya, sejak dari proses mengandung lagi, dia dan isteri gemar membaca al-Quran dan menjadikan ia rutin setiap hari dan dipraktikkan sehingga anak-anak membesar.

Selain itu, Shauqi berkata, menghormati orang lain serta menjaga adab ketika bersama orang ramai antara pesanan ibu bapa yang sentiasa diingati.

“Nasihat ibu supaya menjaga diri apabila berada di khalayak, jaga adab depan orang ramai, berdisiplin, taat kedua ibu bapa dan sentiasa menutup aurat akan saya amalkan sampai bila-bila,” katanya.

Katanya, hasrat menjadi pendakwah/ duta kecil dan cita-cita sebagai saintis Islam diharap akan terlaksana selepas menimba banyak ilmu menerusi pertandingan yang disertai.