BUTTERWORTH - Penantian warga Pulau Pinang khususnya penduduk di Seberang Perai mengenai status terkini Penang Sentral bakal terjawab apabila ianya bakal dibuka pada Disember ini.

Dikenali sebagai hub pengangkutan yang mempunyai ciri-ciri moden, Penang Sentral merangkumi perkhidmatan pengangkutan awam seperti bas ekspres, feri, tren, bas henti-henti dan teksi di bawah satu bumbung yang kini dalam peringkat akhir ujian persediaan sebelum dibuka kepada orang ramai.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, Penang Sentral akan menjadi simbol era baharu pada kesinambungan sistem pengangkutan awam secara berpusat iaitu perkhidmatan bas, feri dan keretapi.

"Dengan siapnya terminal ini, ia bakal menjadikan sistem perkhidmatan pengangkutan awam di negara ini selangkah ke hadapan.

"Penang Sentral sudah bersedia untuk dibuka dan ini akan membawa kepada era baharu fasiliti yang lebih baik terutamanya kepada perkhidmatan pengangkutan awam Pulau Pinang dan wilayah utara," katanya dalam sidang media selepas menjalankan lawatan kerja ke Penang Sentral, hari ini.

Dalam masa sama, beliau berkata, perkhidmatan feri perlu ditingkatkan.

Chow Kon Yeow ketika menjalankan lawatan kerja di Penang Sentral.

"Ia merangkumi pengenalan catamaran dan juga peningkatan perkhidmatan rel terutamanya komuter antara Butterworth-Alor Setar (Kedah) dan Butterworth-Kamunting (Perak)," katanya.

Penang Sentral terdiri 38 tapak parkir bas, kaunter tiket bersepadu, lot komersial, kaunter tempahan teksi serta ruang menunggu kereta sewa, serta jejantas yang menghubungkan ke pelabuhan feri dan stesen keretapi Butterworth.

Selain itu, sebanyak 55 lot kedai dan medan turut disediakan.

Penang Sentral juga menyediakan 577 tapak parkir demi menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam bersepadu.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Operasi (Hartanah), Malaysian Resources Corporation Bhd. (MRCB), Shireen Iqbal berkata, terminal tersebut turut bersedia bagi penyambungan sistem transit aliran ringan (LRT) sekiranya terdapat pembinaan perkhidmatan itu pada masa hadapan.

"Penang Sentral dapat diintegrasikan (dengan LRT) kerana bangunan ini boleh menampung perkembangan untuk 10 hingga 15 tahun akan datang.

"Dengan sebab itu kita masukkan sistem pengurusan terminal dan sebagainya untuk meningkatkan kecekapan sistem pengangkutan," katanya.

Hadir sama dalam majlis tersebut adalah Exco Kerajaan Negeri dan Adun-adun Pakatan Harapan Pulau Pinang.