ALOR SETAR - Ketua Pemuda Pas, Muhammad Khalil Abdul Hadi mengetuai ‘Street Dakwah’ di pekarangan Stadium Darul Aman, sebelum perlawanan Kumpulan C Liga Malaysia Kedah dan Kelantan, kelmarin.

Timbalan Ketua Pemuda Pas Kedah, Nurul Amin Hamid berkata, pengisian dakwah termasuk kaedah berwuduk ketika berada di stadium, selain menunaikan solat berjemaah dalam waktu yang singkat ketika berada di tempat sesak.

“Tunjuk ajar diberikan kepada anak muda di luar pekarangan Stadium Darul Aman tentang cara mengambil wuduk dalam waktu sukar mendapatkan bekalan air akibat berada di tempat sesak dan masa yang singkat untuk bersolat,” katanya.

Menurutnya, kebiasaan masyarakat mengambil wuduk menggunakan air di paip dengan penggunaan yang banyak, namun janggal menggunakan air dalam kuantiti sedikit seperti dalam botol.

“Islam adalah agama yang mudah dan praktikal. Hanya menggunakan sedikit air mineral daripada botol, pimpinan pemuda Pas mengajar cara berwuduk dengan ringkas dan sah dari segi hukum Islam. Ia juga mengelak pembaziran air,” katanya.

Menurutnya, apabila berlaku kesesakan orang ramai menggunakan air paip, sedangkan waktu Maghrib adalah singkat, maka amalan mengambil wuduk menggunakan air daripada botol sangat praktikal dan memudahkan beribadah.

“Inilah mesej dakwah kami kepada anak muda Islam supaya ibadah kepada Allah tetap dilaksanakan dalam apa jua keadaan,"katanya.