SUNGAI DUA - Seorang pemandu bas cedera ditumbuk selepas bas dipandunya mengalami kemalangan dengan sebuah kereta di Plaza Tol Sungai Dua.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, ketika kejadian, mangsa sedang memandu bas pekerja dan tiba-tiba brek bas tidak berfungsi menyebabkan kenderaan itu melanggar belakang sebuah kereta jenis Honda Civic.

“Mangsa kemudian berhenti di tepi jalan dan semasa mahu turun dari tempat pemandu, tiba-tiba datang seorang lelaki tidak dikenali dan terus menumbuk mangsa di bahagian muka.

“Suspek dipercayai sedang melalui tempat kejadian dan bertindak menumbuk pengadu di muka sebelum melarikan diri dengan menaiki sebuah motosikal.

“Mangsa juga tidak dapat mengecam suspek kerana memakai topi keledar,” katanya.

Katanya, hasil siasatan polis, CCTV di plaza tol tidak dapat merakam kejadian yang berlaku kira-kira 300 meter dari Plaza Tol Sungai Dua itu.

“Setakat ini tiada saksi bebas yang tampil memberi keterangan berkaitan kejadian.

“Mangsa kemudian mendapat rawatan di Hospital Kepala Batas sebagai pesakit luar,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan.

“Siasatan masih diteruskan untuk mengesan suspek dan saksi bebas yang melihat kejadian.

“Polis juga memohon bantuan orang ramai untuk beri maklumat bagi membantu siasatan,” katanya kepada Sinar Harian.