ALOR SETAR - Pelancong warganegara Hong Kong mengalami kecederaan di bahagian paha kiri akibat jet ski dinaiki bertembung dengan sebuah lagi jet ski yang lain  berdekatan The Cliff Restaurant,Pantai Cenang, Langkawi, petang tadi.

Ketua Bahagian Bencana Operasi dan Latihan Angkatan Pertahanan Awam (APM) Langkawi, Lt (PA) Md Saifudin Saad berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira jam 2.26 petang yang memaklumkan seorang mangsa terlibat dengan kemalangan sukan pantai iaitu jet ski .

"Bertindak atas panggilan, operator di menara penyelamat pantai APM Pantai Cenang menghubungi  kapten bot penyelamat untuk respons kes tersebut yang kebetulan pada masa itu, beliau membuat rondaan di sekitar Pantai Tengah.

"Anggota tiba di lokasi menjadi dua jet ski yang dinaiki oleh empat mangsa didapati bertembung antara satu sama lain, lalu terjatuh atas batu  berdekatan sebuah restoran, di Pantai Cenang," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, dalam insiden itu, seorang wanita berusia 20- an mengalami kecederaan di bahagian paha kiri.

"Mangsa telah diberi rawatan awal oleh anggota APM. Keadaan mangsa stabil,"katanya.

Pada hari yang sama, Md Saifudin berkata, pihaknya juga turut menerima panggilan mengenai kes sengatan obor-obor di Batu Kulat, Pantai Tengah Langkawi.

Menurutnya, kejadian itu berlaku kira-kira jam 3.20 petang yang membabitkan mangsa lelaki berusia 26 tahun merupakan warganegara Jerman.

"Pusat operasi APM turut menerima panggilan mengenai mangsa terkena sengatan obor-obor di bahagian pergelangan kaki kiri dan kanan.

"Susulan itu,  seramai lima anggota bertugas bergegas ke lokasi untuk menyelamatkan mangsa," katanya.

Katanya, apabila tiba di lokasi, pihaknya mendapati mangsa mengalami tanda-tanda kekejangan seluruh anggota badan.

"Mangsa turut dalam keadaan terketar-ketar membabitkan seluruh anggota badan, muntah dan dalam keadaan hampir pengsan.

"Setelah 30 minit diberi rawatan pemulihan oleh anggota penyelamat APM di lokasi kejadian. Mangsa kembali pulih dan dia disyorkan untuk mendapatkan rawatan lanjut.

"Namun, mangsa menolaknya kerana mendakwa dirinya sudah pulih selepas menerima rawatan awal daripada anggota kami," katanya.