SUNGAI PETANI - Lapan pelajar Thailand yang membuat persembahan tarian sempena Jamuan Aidilfitri Perdana Universiti Teknologi Mara (UiTM) berjaya memukau penonton dan tetamu yang hadir.

Mereka terdiri daripada tujuh perempuan dan seorang lelaki yang merupakan mahasiswa Thepsatri Rajabhat Universiti (TRU), Lop Buri, Thailand mengikuti program sempena English Class and Malaysian Culture with TRU.

Menurut Ketua Kumpulan Eye Suphakon, kesemua peserta melalui program berkenaan yang bermula dari 2 hingga 13 Julai  2018 dengan pelbagai pengisian.

“Antara aktiviti yang kami ikuti termasuk mengikuti kelas Bahasa Melayu, Inggeris, Arab, Cina dan terdapat juga aktiviti kebudayaan seperti tarian,” katanya.

Menurutnya, kesemua peserta yang mengikuti program berkenaan gembira dapat berkongsi budaya dan adat resam Melayu sekali gus mempelajari kehidupan masyarakat Malaysia.

“Selain mengeratkan hubungan, kami dapat memperkukuhkan ikatan dua negara dalam masa sama mengikuti dan merasai keunikan makanan di sini,” katanya.

Apabila ditanya persembahan tarian joget yang dipelajari hanya empat hari, beliau menjelaskan masing-masing teruja namun masih boleh mengikutinya memandangkan ia agak mudah berbanding tarian tradisional Thailand yang mempunyai lebih banyak pergerakan.

“Makanan di sini juga mudah diperolehi dan cita rasa rakyat Malaysia juga tidak jauh beza dengan masyarakat Thailand,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Bahasa Inggeris Akademi Pengajian Bahasa UiTM, Phaveena Primsuwan berkata, kesemua peserta berbesar hati mengikuti aturcara yang diatur.

Beliau yang juga merupakan jurubahasa kepada peserta turut membimbing kumpulan itu menjayakan program yang disusun atur.

Sementara itu, turut hadir dalam majlis Jamuan Aidilfitri Perdana UiTM berkenaan, Ahli Parlimen Merbok, Nurin Aina Abdullah dan Rektor UiTM Kedah, Profesor Madya Dr Shaiful Annuar Khalid.