ALOR SETAR - Seorang pelajar Tahfiz Model UlulAlbab (TMUA) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Kedah mengharumkan nama sekolah apabila menjuarai Kejohanan Olimpiad Matematik peringkat negeri Kedah, baru-baru ini.

Muhammad Syamil Roslan, 17, berjaya membawa pulang wang tunai RM5,000, sijil emas dan sijil penyertaan selepas memenangi pertandingan disertai 120 pelajar dari 60 sekolah di seluruh Kedah.

Bapanya, Roslan Ghazali berkata, dia bersyukur ke hadrat Ilahi serta terkejut apabila anak sulung dari dua adik beradik itu memenangi pertandingan, sekaligus bakal mewakili Kedah ke Kejohanan Olimpiad Matematik peringkat Kebangsaan nanti.

“Saya amat berterima kasih kepada pihak pengurusan sekolah dan guru-guru mendidik anak saya, sekaligus berjaya menghidu kebolehan dimiliki dalam bidang berkenaan sehingga membolehkan anak lelaki memenangi pertandingan berprestij itu.

“Syamil merupakan seorang anak baik dan bertanggungjawab, malah dia sentiasa menghormati saya dan isteri, Shaflina Shabuddin. Syamil juga sentiasa menjaga disiplin dirinya sama ada di sekolah ataupun di rumah,” katanya.

Syamil merupakan pengawas dan pelajar generasi awal Program TMUA yang berbakat dan cemerlang dalam mata pelajaran Fizik, Biologi, Kimia, Matematik, Bahasa Arab dan Matematik Tambahan, malah dia sudah bergelar al-Hafiz di usia muda apabila menghafaz al-Quran semasa Tingkatan Empat lagi.