KULIM - Seorang pelajar Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah maut apabila motosikal ditunggangi terbabas ke arah pembahagi jalan, petang tadi.

Mangsa, Mohamad Akmal Firdaus Rohaizar, 19, menunggang bersama rakannya kira-kira jam 6 petang tadi, dipercayai keluar dari jalan Kulim Hi-Tech 8 bersama rakannya sebelum terbabas melanggar pembahagi jalan.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ahmad Nasir Jaafar mengesahkan kejadian dan berkata siasatan awal mendapati mangsa ketika kejadian sedang menunggang motosikal dari arah Jalan Hi-Tech 8 ke Lebuh Perdana manakala sebuah kereta dalam perjalanan dari arah Kilang Infinion menuju ke Jalan Titi Karangan, Baling.

“Apabila tiba di tempat kejadian, motosikal mangsa terbabas melanggar pembahagi jalan dan termasuk ke laluan bertentangan sebelum melanggar sebuah kereta.

“Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu kereta tidak mengalami kecederaan,” katanya.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kulim untuk dibedah siasat dan kes disiasat bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.