KUALA MUDA - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kini sedang giat mengesan seorang lelaki berusia lingkungan 40-an yang dipercayai menyamar sebagai kakitangan JKM yang bertindak memperdaya warga emas sebelum meminta wang.

Suspek didakwa memakai pakaian berlencana 1Malaysia ketika menemui warga emas di kawasan taman perumahan dan kampung sekitar daerah ini.

Difahamkan, lelaki terbabit berjanji akan menguruskan permohonan bantuan JKM warga emas terbabit sebelum mereka diminta menyerahkan sejumlah wang.

Berdasarkan maklumat, kesemua wang itu dikatakan akan digunakan untuk membuka satu akaun bank sebagai kemudahan menyalurkan wang bantuan yang akan diperoleh kelak. Pegawai JKM Daerah Kuala Muda, Mohamad Md Nor  berkata, selepas memperdaya dan mendapatkan wang daripada mangsa, suspek meneruskan kegiatan ke kawasan perumahan dan perkampungan lain menggunakan modus operandi sama.

“Selepas mendapat wang, lelaki tersebut terus menghilangkan diri sebelum berpindah ke mangsa lain,” katanya kepada media kelmarin. Menurutnya, JKM menerima laporan berhubung kejadian berkenaan minggu lalu yang mana seorang warga emas berusia 70 tahun mengalami kerugian sebanyak RM100 apa bila diperdaya lelaki terbabit.

“Mangsa yang tertipu menyerahkan wang seperti yang diminta kerana dijanjikan bakal menerima bantuan bulanan daripada JKM,” katanya. Mohamad berkata, pihaknya juga menerima satu laporan mengenai seorang wanita warga emas berusia 60-an turut mengalami nasib sama.

“Saya ingin menasihati orang ramai terutama warga emas sekiranya didatangi pihak tertentu supaya berhati-hati dan jangan mudah terpedaya.

“Orang awam juga boleh meminta kakitangan memperkenalkan diri terlebih dahulu atau menunjukkan kad kuasa jabatan sebagai bukti sekiranya didatangi individu tidak dikenali.

“JKM tidak pernah meminta wang dari mana-mana  individu, malah mengikut prosedur permohonan bantuan, tiada sebarang cas dikenakan untuk proses permohonan,” katanya.

Menurutnya, warga emas yang tinggal seorang diri atau di pedalaman diminta berwaspada kerana golongan itu menjadi sasaran utama suspek.