KOTA SARANG SEMUT - Pas mengumumkan 14 calon parti itu yang akan bertanding di kerusi Parlimen dan 36 kerusi Dun di Kedah untuk PRU14.

Pengumuman dibuat Pesuruhjaya Pas Kedah, Dr Ahmad Fakhrudin Sheikh Fakhrurazi dalam Majlis Pengisytiharan Calon PRU14 Gagasan Sejahtera Kedah di Kompleks Pas Kedah, tadi.

Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurrazi, 47, yang berkelulusan Sarjana Undang-undang Perbandingan dan Doktor Falsafah Syariah dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akan bertanding di kerusi Dun Pengkalan Kundor yang disandang, Datuk Ir Phahrolrazi Mohd Zawawi.

Lagenda bola sepak, Radhi Mat Din, 53, diumumkan bertanding di Parlimen Pokok Sena yang sebelum ini disandang Datuk Mahfuz Omar mendapat tepukan gemuruh lebih 3,000 penyokong Pas.

Penolong Pegawai Penyelidik Universiti Utara Malaysia (UUM), Muhammad Aminur Shafiq Mohamad Abduh, 28, menjadi calon termuda dipertaruhkan Pas Kedah di Alor Setar.

Bagi calon Parlimen Langkawi, menentang calon Pakatan Harapan (Harapan), Tun Dr Mahathir Mohamad, kerusi berkenaan diberikan kepada calon Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan).

Bagaimanapun, sesiapa calon Ikatan bagi kerusi Parlimen Langkawi masih belum diumumkan.

Lima calon Muslimat turut dipertaruhkan, iaitu Azlina Azinan di Ayer Hangat, diikuti Norhafiza Fadzil (Kubang Pasu), Habshah Bakar (Bukit Kayu Hitam), Noor Hidayah Foo Abdullah (Sidam) dan Datuk Siti Aishah Ghazali (Dun Merbau Pulas).