• Papan tanda jalan undang bahaya Papan tanda rendah dan memasuki laluan cukup mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya.
1 /

KUAH - Pihak bertanggungjawab diharap memantau keadaan papan tanda di jalan utama penduduk dan pelancong di sini yang mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya.

Peniaga, Zul Khairi Azizan, 24, berkata, keadaan jalan sempit dan bersimpang menyebabkan berlakunya kemalangan apabila papan tanda tersebut tidak mempunyai ketinggian mencukupi.

"Kebanyakan kemalangan berlaku di sini libatkan pelancong kerana mereka tak biasa jalan di sini. Kami mohon pihak berkenaan ambil perhatian serius. Jangan tunggu berlakunya kehilangan nyawa baru hendak mengambil tindakan.

"Saya rasa jabatan terlibat pun telah dimaklumkan dengan aduan dibuat. Pernah berlaku kemalangan melibatkan pelancong asing apabila van yang mereka sewa bersama keluarga ketika melancong ke sini telah melanggar papan tanda tersebut menyebabkan kecederaan pada anggota keluarga dan van yang dipandu mengalami kerosakan teruk,” katanya.

Ashraf Zulkifli, 24, berkata, situasi itu amat memalukan kerana ia boleh menjejas imej bandaraya pelancongan.

"Sewajarnya perkara ini dipantau, jangan biarkan sehingga ia meragut nyawa pengguna jalan raya, malah di kawasan sekitar terdapat gerai-gerai perniagaan dan ia cukup mengundang bahaya kepada semua.

“Besar kemungkinan masalah berlaku kerana pelebaran jalan di kawasan sekitar tetapi ianya perlu dikaji dengan mendalam oleh pihak berkenaan berkaitan perkara ini," katanya.

Ashraf berkata, situasi itu telah berlarutan sejak sekian lama.