ALOR KEDAH - Kementerian Pelajaran diharapkan mengambil tindakan sewajarnya berhubung dakwaan segelintir pihak mengenai sekolah di bandaraya ini yang dikatakan mengamalkan sikap berat sebelah terhadap pelajarnya.

Difahamkan sesetengah sekolah di sini hanya memilih guru dan kursus terbaik untuk diberikan kepada kelas terbaik, manakala kelas yang dipercayai kurang baik tidak mendapat perhatian sepatutnya.

Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Kedah, Shamsul Bahar Abd Rani berkata, jika benar sesetengah sekolah mengamalkan konsep dan berdepan dengan sindrom ini maka satu tindakan harus diambil bagi menanganinya kerana ia merupakan perkembangan tidak sihat.

“Golongan pelajar harus menerima layanan adil dari segi pendidikan, malah tahap kebijaksanaan mereka tidak seharusnya dibeza-bezakan oleh mana-mana pihak. Seharusnya, seseorang pelajar yang lemah dalam pelajaran perlu mendapat bimbingan dari guru cemerlang dan perhatian yang lebih berbanding pelajar pintar.

“Jadi, jika isu berat sebelah ini timbul maka perkara ini berbalik semula pada tanggungjawab yang dimainkan guru, ibu bapa dan masyarakat dalam membangunkan pendidikan anak bangsa,” katanya mengulas laporan interaktif Sinar Harian, 9 Januari lalu.

Shamsul Bahar berkata, GPMS menyarankan pihak sekolah mengambil berat mengenai masalah ditanggung pelajar yang dikategorikan kurang baik ataupun bermasalah ini dan tidak seharusnya terus menjatuhkan hukuman terhadap mereka.

Menurutnya, jika pelajar lemah ini diberikan peluang dengan bimbingan dan kaunseling dari pihak berkaitan mengenai isu-isu tertentu, maka ia akan membantu mereka meningkatkan kebolehan diri sendiri.

"Penempatan guru bagi sesuatu kelas tidak boleh dilakukan secara diskriminasi, malah pihak berkaitan tidak seharusnya meletakkan kategori tertentu untuk pelajar tertentu sahaja kerana tindakan ini tidak wajar demi masa depan pelajar berkenaan," katanya.

Katanya, masalah yang timbul bukanlah hanya terletak pada ibu bapa sahaja sebaliknya pihak lain termasuk masyarakat, guru, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ataupun persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) perlu mengambil berat dan peka mengenai isu ini terutamanya apabila bidang pendidikan dibangkitkan.

“Kita perlu wujudkan budaya mengambil tahu dengan memberi perhatian lebih tidak kira di dalam ataupun luar kelas kerana jika betul konsep ini diamalkan sesetengah sekolah, sememangnya ia akan menyebabkan sesuatu masalah berlaku,” katanya.