PENDANG - Pembinaan Hospital Pendang yang tertangguh sejak sekian lama akan terus diperjuangkan pemimpin di sini.

Penyelaras Dun Tokai Pendang, Firdaus Jaafar, berkata, Pendang merupakan satu-satunya daerah yang tidak mempunyai kemudahan hospital.

Katanya, keadaan menjadi sangat rumit apabila penduduk Pendang terpaksa mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar.

“Jarak antara Pendang ke Alor Setar mengambil masa yang agak panjang sekitar 45 minit menyebabkan pembinaan hospital di Pendang wajar diberi perhatian.

“Saya telah bertemu dengan Menteri Kesihatan, Dr Dzulkifli Ahmad bagi membincangkan berkenaan status Hospital Pendang ini,” katanya.

Menurut Firdaus, pihak kementerian telah memberikan jaminan akan mendapatkan maklumat berkaitan projek pembinaan Hospital Pendang.

“Sebagai penyelaras kawasan Pendang ini saya akan terus memantau dari masa ke semasa berkaitan projek pembinaan hospital,” katanya.

Menurut Firdaus, sehingga kini masih tidak ada perubahan manakala tapak juga sudah  mula ditumbuhi semak semula.

“Saya berharap pihak kementerian kesihatan mengambil sikap positif di dalam perkara ini bagi memastikan rakyat Pendang mendapat manfaat meskipun terlambat,” katanya.

Sebelum ini pembinaan Hospital Pendang telah diluluskan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) dengan keluasan 16.8 hektar tetapi ditunda kepada RMK-10 atas sebab tertentu.

Malah dua hari sebelum PRU14 lalu, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak telah meletakkan batu asas di tapak hospital tersebut. Namun, kerja pembinaan terhenti selepas kerajaan BN hilang kuasa.