BATU KAWAN - Bertempiaran lari cuba meloloskan diri malah ada juga yang sanggup memanjat bumbung untuk menyembunyikan diri.

Itu antara gelagat kumpulan warga asing apabila sepasukan penguatkuasa Jabatan Imigresen Pulau Pinang menyerbu penempatan warga asing di Bandar Cassia, awal pagi tadi.

Serbuan Op Ikrar yang diketuai Timbalan Penolong Pengarah Jabatan Imigresen Pulau Pinang, Izham Idris itu dilakukan hasil risikan dan maklumat awam mengenai lambakan pekerja asing di kawasan tapak pembinaan berkenaan.

Pengarah Jabatan Imigresen Pulau Pinang, Meor Hezbullah Abd Malik berkata, dalam serbuan bermula jam 1 pagi itu, pihaknya memeriksa 164 pekerja asing yang mendiami kawasan rumah kongsi berkenaan.

Menurutnya, ketika serbuan dilakukan, kumpulan warga asing berkenaan cuba melarikan diri dengan merempuh pegawai serbuan namun usaha mereka gagal apabila kawasan tapak pembinaan berkenaan terlebih dahulu dikepung rapi.

"Mereka bertempiaran lari selepas menyedari kenderaan kita masuk ke dalam kawasan rumah kongsi berkenaan dan ada yang merempuh anggota kami ketika cuba meloloskan diri sehingga anggota tercedera.

"Selepas kesemua mereka dikumpulkan di satu tempat, pemeriksaan lanjut dilakukan di kawasan rumah kongsi berkenaan dan berjaya mengesan beberapa lagi warga asing yang cuba bersembunyi di atas bumbung namun kesemua mereka berjaya ditahan selepas dipujuk untuk turun menyerah diri," katanya.

Meor Hezbullah berkata, 75 warga asing yang terdiri daripada 68 lelaki dan tujuh wanita didapati melakukan kesalahan tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan dan ada yang tinggal di negara ini melebihi masa ditetapkan.

Katanya, kesemua ditahan terdiri daripada 41 lelaki dan seorang wanita warga Bangladesh, 10 lelaki dan empat wanita warga Indonesia serta 17 lelaki dan dua wanita warga Myanmar.

Beliau berkata, kesemua mereka akan dibawa ke Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Pulau Pinang untuk proses dokumentasi sebelum dihantar ke Depoh Tahanan Warga Asing di Juru untuk tindakan lanjut.

Dalam pada itu, Meor Hezbullah turut memberi amaran kepada majikan di negeri ini agar memastikan semua pekerja asing yang digajikan mereka mempunyai pas bekerja selain memenuhi undang-undang negara.

"Majikan yang didapati menggajikan pekerja warga asing yang tidak mematuhi peruntukan undang-undang negara boleh dikenakan hukukan mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 yang memperuntukkan hukuman denda dan sebat.