BUTTERWORTH - Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Butterworth, masih lagi relevan dan tidak mempunyai sebarang masalah berkait isu soal keselamatannya .

Panglima TUDM,  Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, pangkalan TUDM ini masih relevan masa kini dan akan datang.

"Kita lihat tidak timbul sebarang isu melibatkan aspek keselamatan, ia kekal selamat dan sentiasa relevan.

"Saya bersama-sama Timbalan Menteri Pertahanan (Senator Liew Chin Tong) di sini memastikan bahawa kem di ini akan kekal selagi mana ia diperlukan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media yang diadakan selepas perasmian Hari Terbuka TUDM yang diadakan di Pangkalan Udara TUDM Butterworth, hari ini.

Hadir sama merasmikan program adalah Timbalan Menteri Pertahanan (Senator Liew Chin Tong).

Pangkalan Udara TUDM Butterworth seluas 400 hektar itu adalah pangkalan utama di utara tanah air dan diwujudkan sejak 1941.

Terdahulu, terdapat ura-ura mengatakan Pangkalan TUDM Butterworth yang terletak di Teluk Air Tawar itu difahamkan akan dipindahkan ke kawasan Ara Kuda, Tasek Gelugor bagi memberi laluan kepada projek pembangunan semula kawasan berkenaan oleh pihak swasta.

Cadangan itu bagaimanapun sebelum ini mendapat bantahan pelbagai pihak termasuk  penduduk  sekitar kawasan itu.

Media sebelum ini melaporkan cadangan penempatan semula dan pembinaan semula pangkalan TUDM Butterworth akan dikendalikan oleh beberapa pihak.