KEPALA BATAS - Gara-gara mengugut rakan sekerja, seorang lelaki warga asing ditahan polis di asrama sebuah kilang, di sini semalam.

Lebih mengejutkan ketika serbuan dijalankan, polis turut menemukan sepucuk senapang angin dan beberapa senjata larangan lain bersama suspek.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komissioner Noorzainy Mohd Noor berkata, hasil siasatan yang dijalankan, mangsa didatangi suspek yang merupakan penyelia dalam keadaan marah.

“Suspek telah memaksa mangsa dan tiga lagi rakannya supaya tidak bekerja dan mengugut akan bunuh mangsa bersama rakan-rakannya sekiranya mereka pergi kerja.

“Kerana ketakutan, mangsa dan rakan-rakannya tidak pergi bekerja dan perkara tersebut telah diketahui oleh majikan mereka,” katanya.

Noorzainy berkata, siasatan mendapati suspek berasa tertekan kerana selalu dimarahi oleh majikannya kerana tidak melakukan kerja dengan betul.

“Oleh kerana tertekan, suspek tidak mahu bekerja dan suspek mendesak mangsa dan pekerja lain supaya tidak bekerja di kilang tersebut lagi.

“Suspek kemudiannya ditahan dalam serbuan yang dijalankan di sebuah bilik asrama kilang tersebut,” katanya.

Menurutnya, polis menemukan selaras senapang patah bersama barangan lain.

“Hasil pemeriksaan pihak polis di dalam bilik asrama tersebut telah menjumpai satu laras senapang angin buatan sendiri warna hitam, sebilah parang buatan sendiri warna kelabu, bungkusan plastik warna hijau yang didalamnya mengandungi segumpal bearing bebola besi, satu botol kaca mengandungi cecair spirit dan satu rangkai kunci bilik asrama milik suspek.

“Polis turut merampas kesemua barang tersebut dan masa sama ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif dadah,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan (Ugutan Jenayah) / Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 / Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960.